NO. ARTIKEL: BIL. 4/2024 | NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA

TADBIR URUS YANG BAIK (Pencegahan Rasuah dan Pengukuhan Integriti)

Integriti sering kali menjadi topik bualan hangat masyarakat mutakhir ini. Perkataan integriti berasal dari perkataan Latin ‘integritas’ yang membawa maksud menyeluruh dan kesempurnaan. Integriti mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat merujuk kepada keadaan sempurna dan utuh, dan jika ia diterjemahkan kepada bahasa Arab, ia dapat didefinasikan sebagai amanah atau ketenteraman hati. Integriti adalah amat penting dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara.

Sejarah telah membuktikan bahawa kemerosotan nilai integriti boleh membawa kepada kebinasaan sesebuah negara. Umpamanya, sejarah kejatuhan pentadbiran kerajaan Presiden Ferdinand Marcos di Filipina yang berpunca dari amalan rasuah telah mencalarkan tahap kebolehpercayaan rakyat Filipina terhadap institusi kerajaan dan ekonomi, sekaligus mencacatkan imej negara berkenaan pada mata dunia. Ini adalah kerana pemimpin yang mengamalkan rasuah akan menyebabkan negara kehilangan hasil pendapatan dan merosakkan sistem keadilan pengurusan pentadbiran kerajaan, seterusnya menjadi pencetus kepada perpecahan rakyat. Justeru penerima rasuah adalah diibaratkan sebagai orang yang melakukan kerosakan di muka bumi kerana takrifan integriti memerlukan seseorang yang berpegang teguh kepada nilai-nilai murni dalam memikul amanah dan merasa takut untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip moral yang mencetus pelbagai reaksi negatif.

Rasuah, jika dilihat dari sudut hubungan manusia-Tuhan bermaksud segala keburukan dan ketidakadilan, pemberontakan terhadap perjanjian dengan Tuhan dan menindas orang lain, sehingga gagal mengakui hak Tuhan, manusia dan ciptaan lain. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menafsirkan rasuah sebagai penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri dari pelbagai bentuk sama ada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah atau diskaun.

Integriti sesebuah negara boleh diukur dalam pelbagai kaedah dan salah satunya ialah pengukuran melalui Indeks Persepsi Rasuah atau lebih dikenali dengan singkatannya iaitu CPI (Corruption Perception Index) yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M).

CPI Malaysia pada tahun 2021 telah mengambil kira sembilan kajian iaitu Bertelsmann Stiftung Transformation Index 2020, Economist Intelligence Unit Country Risk Service 2019, Global Insight Country Risk Ratings 2019, IMD World Competitiveness Center World Competitiveness Yearbook Executive Opinion Survey 2020, Political and Economic Risk Consultancy Asian Intelligence 2020, The PRS Group International Country Risk Guide 2019, World Economic Forum Executive Opinion Survey 2019, World Justice Project Rule of Law Index Expert Survey 2020 dan Varieties of Democracy (V-Dem) 2020 sebagai asas kepada kedudukan dan skor. Mengikut TI-M, CPI Malaysia pada tahun 2021 adalah pada skor 48, berbanding skor 51 pada tahun sebelumnya dan skor 53 pada 2019. Dalam hal ni, skala skor 0 adalah digambarkan sebagai negara paling korup, manakala skor 100 adalah digambarkan sebagai negara yang paling bersih. Kedudukan Malaysia dalam CPI juga dilaporkan merosot dari tangga 51 pada tahun 2019 ke tangga 57 pada tahun 2020 dan tangga 62 dari keseluruhan 180 negara yang disenaraikan dalam tinjauan.

Pengumuman skor CPI ini jika dilihat dari sudut positifnya menunjukkan Kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dan tegas untuk menambah baik polisi tadbir urus negara dan melipat gandakan usaha pencegahan rasuah dalam negara. Antara langkah utama Kerajaan dalam perkara ini ialah dengan melancarkan Pelan Antirasuah Negara (NACP), 2019-2023. NACP telah menggariskan pelbagai inisiatif tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah dan dinilai dalam enam bidang berisiko rasuah iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang, dan tadbir urus korporat.

Seterusnya, Kerajaan Malaysia telah melancarkan Dasar Keselamatan Negara (DKN), 2021-2025 yang menetapkan pencegahan rasuah dan pengukuhan intergriti sebagai satu komponen penting dalam penilaian Nilai Teras Keselamatan Keempat DKN: Tadbir Urus Yang Baik. Kerajaan juga telah memperkenalkan Anugerah Integriti Governans dan Antirasuah (AIGA) pada tahun 2020 dan AIGA merupakan satu inisiatif meningkatkan pembudayaan integriti dan tadbir urus, menerusi pemberian pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan integriti, tadbir urus terbaik dan inisiatif antirasuah dalam organisasi. Langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan ini menunjukkan peri pentingnya integriti dalam jatuh bangunnya sebuah negara.

#Integriti adalah harga diri anda #jauhirasuah #AIGA #Teras3DKN2021-2025 #NACP

Sumber:

i. Institut Integriti Malaysia

    – https://integriti.my/persepsi-indeks-2021/

ii. Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia

    – https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=75&articleid=481

iii. Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC)

    – https://giacc.jpm.gov.my/wp-content/uploads/2019/01/PELAN-ANTIRASUAH- NASIONAL-2019-2023.pdf

Scroll to Top