NO. ARTIKEL: BIL. 3/2024 | LEWAT SAMPAI DI TEMPAT KERJA? 4 CARA BOLEH MEMBANTU

Salah satu masalah yang biasa terjadi kepada pekerja adalah datang lewat. Ada yang lewat 5 minit, lewat 10 minit sehingga satu jam pun ada. Waktu balik awal pula. Kes masuk lewat ni, teringat pula lagu Amboi dari Altimet;

“… bila masuk kerja tak pernah on time lepas masuk kerja dia terus on line…”

Bukan sekali malah kerap kali berlaku. Daripada secara kebetulan sehingga menjadi satu tabiat buruk. Bila ditanya pengurus sebab datang lewat, ada sahaja alasan ‘basi’ diberi seperti:

1. “Jalan jem, bos.”

2. “Bangun lewat sikit hari ni.” 

3. “Jam rosak.” Sambil muka senyum kelat.

4. “Hujan lebat, berhenti dulu.” Padahal gerimis sahaja.

Rekod kedatangan lewat sebenarnya mengganggu peningkatan kerjaya kerana akan dilabel buruk oleh majikan. Sesetengah syarikat menetapkan kedatangan sebagai salah satu Key Performance Indicators (KPI) penting. Tidak datang tepat pada masanya, bererti gagal mencapai KPI ditetapkan.

Jadi apa caranya untuk elak sampai lewat di tempat kerja. Jom baca 4 perkongsian kami di bawah:

#1. Keluar Rumah Awal Sekurang-Kurangnya 15 minit

Datang lewat sebab keluar rumah lewat. Itu sahaja sebabnya.  Jika masa yang diperlukan untuk sampai ke pejabat satu jam dan waktu masuk kerja adalah 8.30 pagi. Maka, logiknya kena keluar rumah jam 7.30 pagi. Ini anggaran tempoh purata untuk sambil ke pejabat tepat pada waktunya. Tempoh ini boleh berubah lebih cepat atau lambat bergantung kepada kesesakan jalan raya dan kelajuan kita ‘merempit’.

Kita maklum, mungkin sebahagian daripada perkerja tinggal sangat jauh daripada tempat kerja. Ada lebih dari 100km perjalanan seharian. Majikan biasanya tahu kita tinggal jauh dan memerlukan masa yang lama untuk sampai ke pejabat. Caranya keluar rumah lebih awal daripada biasa. 15 minit awal adalah masa yang sangat ideal. Lebih awal kita keluar, lebih cepat sampai ke pejabat. Mungkin ada beranggapan agak sukar untuk berubah kerana kebiasaan dan rutin keluar rumah pada waktu tertentu.

Perlu sentiasa positif dalam setiap perkara. Kita juga perlu sedar pekerjaan adalah amanah dan tanggungjawab. Kita menanggung satu bebanan yang sangat besar. Oleh sebab itu, kita dibayar gaji tertentu kerana sanggup menerima cabaran tersebut. Jadi, tidak boleh ada alasan dan halangan untuk sengaja datang lewat.

Rezeki yang diperoleh bukan kita sahaja yang akan gunakan tetapi seluruh ahli keluarga akan ‘menyuap masuk’ apa sahaja melalui gaji tersebut. Jika datang lewat, fikir-fikirkanlah keberkatan rezeki diterima. Tidak mahu ulas panjang kerana semua pastinya sedia maklum tentang perkara ini.

#2. Persiapan Pada Waktu Malam

Keluar rumah lewat sebab pada awal pagi tergesa-gesa siapkan diri. Baju, seluar, beg dan banyak lagi barang merata-rata tempat. Lebih parah, tidak jumpa mencari barangan pejabat pada waktu pagi. Orang bekerja perlu sentiasa kemas dan bersedia setiap pagi. Cara selamat adalah dengan bersiap sedia pada malam sebelumnya dengan segala kelengkapan yang akan digunakan pada esok pagi. Baju sudah diseterika dan disangkut pada satu tempat. Beg, laptop dan buku siap di kerusi. Kasut dan stokin siap sedia di rak kasut.

Jika membawa makanan ke pejabat, sudah siap disediakan bahan mentah pada waktu malam. Bangun pagi cuma terus masak. Jimat banyak masa dan sudah pasti tidak terkejar-kejar ke sana ke mari. Hidup pun tidak stress. Bagi pekerja yang berkeluarga, kami yakin dan percaya si isteri sudah sediakan segalanya pada waktu malam. Suami pula membantu apa yang perlu kerana hidup berkeluarga, kehidupan lebih terurus dan terancang.

Bagaimana mereka yang hidup membujang dan tinggal di rumah sewa? Segalanya perlu disediakan sendiri. Mereka yang hidup membujang juga boleh merancang seperti orang lain. Asalkan bersedia untuk esok hari. Lebih baik kita bersedia kerana perjalanan ke tempat kerja akan lebih tenang dan masalah datang lewat ke pejabat dapat dielakkan.

#3. Ikut Jalan Berbeza

Majoriti sampai lewat ke pejabat sebab kesesakan jalan raya. Ini biasa terjadi jika tempat kerja berada di tengah-tengah pusat bandar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Johor Baharu. Biasanya mereka yang memandu kereta ke tempat kerja akan berhadapan dengan masalah kesesakan yang teruk di awal pagi. Bagi yang menunggang motosikal, kes jalan jammed memang ada tetapi disebabkan kebolehan motosikal ‘mencilok’ di lorong kereta membuatkan motosikal lebih pantas bergerak.

Kemajuan teknologi maklumat sebenarnya banyak membantu pekerja menjadi lebih baik, cepat, mudah dan selamat. Teknologi Waze umpamanya membantu memberi pilihan jalan raya yang kurang sesak ke tempat kerja. Waze akan memberitahu jalan pintas (shortcut), tempoh masa kesesakan dan waktu tiba. Jadi, kita boleh membuat keputusan pantas untuk menggunakan jalan berbeza ke tempat kerja. Hebahan kesesakan jalan raya juga diumum setiap pagi di radio. Semua stesen radio akan memaklumkan status terkini jalan-jalan utama. Pemandu dapat maklumat terus tanpa perlu membaca berita. Semuanya hanya berlaku di dalam kereta. Namun, jika kesesakan di bandar sebenarnya agak sukar untuk dielakkan kerana bilangan kereta yang memasuki kawasan tersebut sangat tinggi pada waktu pagi. Semuanya dengan satu tujuan. Nak pergi kerja!

#4. Menunggang Motosikal Berbanding Kereta

Jika berani dan ‘hati kering’ boleh menunggang motosikal ke tempat kerja. Satu penyelesaian paling digemari terutamanya kepada kaum lelaki. Wanita juga pada hari ini sudah mula menunggang motosikal. Jawapannya adalah sama. Untuk elak kesesakan. Sebab apa nak elak kesesakan? Sebab nak sampai awal ke tempat kerja. Menunggang motosikal memang satu kaedah paling pantas untuk sampai awal di pejabat tetapi tahap keselamatan sangat perlu diberi perhatian. Berbanding kereta yang mempunyai banyak perlindungan seperti tertutup, beg udara, tidak panas dan lebih selesa, motosikal lebih terbuka. Walaupun kereta bergerak perlahan ketika jalan raya sesak, motosikal masih mampu ditunggang dengan kelajuan 80km sejam. Memang laju dan agak berbahaya terutamanya jika kereta bertukar lorong. Cukup berbahaya dan fokus pemanduan perlu 100%!

Pandu cermat, pasti selamat sampai. Anda Tentukan Waktunya!!!!

Kesimpulannya, ada banyak cara untuk mengatasi masalah datang lewat ke tempat kerja. Anda tentukan kerana ia lebih kepada sikap dan tanggungjawab kita terhadap pekerjaan yang kita lakukan sekarang. Tiada yang mustahil asalkan mahu berkorban.

Scroll to Top