Artikel 19- APA ITU SALAH LAKU PEKERJA? HAK MAJIKAN?

Sebagai seorang majikan, perkara yang paling menggusarkan adalah apabila ada pekerja yang melakukan
salah laku. Apakah salah laku pekerja? Salah laku bagaimana yang membolehkan pekerja diambil
tindakan disiplin?

APA ITU SALAH LAKU PEKERJA?

1. Didalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967 atau Akta Kerja 1955, undang-undang tidak memberikan
definisi yang khusus terhadap apa yang dimaksudkan sebagai Salahlaku (misconduct). Namun definisi
salahlaku telah diteroka dengan mendalam oleh pelbagai kes-kes di Mahkamah Perusahaan.

2. Sekiranya anda adalah seorang pekerja, maka senarai ini boleh membantu anda mengenal pasti salah
laku pekerja yang perlu dielakkan. Sekiranya anda adalah seorang majikan atau mempunyai syarikat,
maka senarai ini boleh membantu anda untuk membuat keputusan sebelum mengambil apa-apa
tindakan terhadap pekerja-pekerja anda.

3. Secara lazimnya, salah laku pekerja bermaksud apa-apa perbuatan yang melanggar terma-terma
tersurat atau tersirat (express or implied) sesuatu kontrak perkhidmatan secara khusus.

4. Ianya juga boleh difahami sebagai suatu kelakuan atau perbuatan pekerja yang secara amnya dianggap
sebagai merosakan reputasi atau kepentingan majikannya
.

5. “Masalah Disiplin” juga adalah satu terma yang lebih mudah difahami dan sering dirujuk dan diguna
pakai terhadap pekerja yang melakukan salah laku.

JENIS-JENIS SALAH LAKU PEKERJA

6. Sesuatu salah laku boleh ditafsirkan melalui tiga klasifikasi iaitu:


i. salah laku yang berkaitan dengan tugas;
ii. salah laku yang berkaitan dengan disiplin; dan
iii. salah laku yang berkaitan dengan moral.

7. Namun bagi maksud rencana ini, secara lazimnya, salah laku pekerja boleh dibahagikan kepada dua;
yang pertama adalah salah laku ringan/kecil (minor misconduct) manakala yang kedua pula adalah salah
laku berat (major misconduct).

8. Membezakan jenis-jenis salah laku ini adalah penting bagi maksud untuk memastikan tindakan yang
dikenakan oleh majikan keatas seseorang pekerja itu adalah setimpal dan adil.
SALAH LAKU RINGAN/KECIL (MINOR MISCONDUCT)

9. Salah laku ringan/kecil adalah jenis-jenis salah laku yang mana kelakuan pekerja itu tidak terlampau
menjejaskan hubungan di antara pekerja dan majikan dan impaknya terhadap reputasi syarikat adalah
kecil.

10. Di antara salah laku ringan adalah seperti hadir lewat, tidak menjalankan tugas dengan baik, tidak
menepati waktu kerja, cuai di dalam menggunakan alatan milik syarikat, tidak memakai uniform yang
ditetapkan
dan sebagainya.

11. Salah laku sebegini pada kebiasaannya mewarankan majikan ataupun pegawai tenaga kerja (Human
Resource) mengeluarkan notis-notis amaran terhadap pekerja tersebut
.

12. Sekiranya salah laku kecil ini berlaku berulang kali walaupun notis amaran pertama dan kedua telah
dikeluarkan, ianya boleh menjadi satu salah laku berat yang membolehkan tindakan disiplin yang lebih
berat di ambil oleh majikan.

SALAH LAKU BERAT (MAJOR MISCONDUCT)

13. Salah laku berat adalah suatu kesalahan yang mana ianya memberikan impak yang sangat besar
terhadap reputasi syarikat dan juga hubungan di antara pekerja dan majikan.

14. Sebelum melakukan apa-apa tindakan bagi setiap salah laku berat, majikan hendaklah menjalan
siasatan terhadap salah laku tersebut.

CONTOH SALAH LAKU BERAT

15. Sebagai rujukan, disini disenaraikan secara ringkas diantara perlakuan-perlakuan yang boleh
didefinisikan sebagai salah laku berat yang seterusnya membolehkan Majikan mengambil tindakan
disiplin yang tegas terhadap pekerja-pekerjanya.

(a) Ketidakpatuhan yang disengajakan (willful insubordination), samada secara bersendirian mahupun
berkumpulan, terhadap arahan-arahan majikan yang sah dan munasabah;

(b) Terlibat didalam kes curi, penipuan dan ketidakjujuran berkaitan dengan urusniaga dan harta benda
Majikan;

(c) Membuat kerosakan secara sengaja terhadap harta benda Majikan;
(d) Memberi atau menerima rasuah;
(e) Tidak menghadirkan diri ke tempat kerja tanpa kebenaran secara berterusan;
(f) Gagal menghadirkan diri ke tempat kerja pada waktu yang ditetapkan secara berterusan;
(g) Gangguan seksual di tempat kerja;
(h) Berkelakuan tidak sopan sewaktu didalam tempoh waktu bekerja;
(i) Penggunaan dadah atau alkohol sewaktu bekerja;
(j) Melakukan salah laku kecil secara terus menerus;

Di atas adalah beberapa perlakuan-perlakuan yang boleh menyebabkan seseorang pekerja dikenakan
dengan tindakan oleh Majikan. Senarai tersebut pastinya bukan muktamad namun ianya seharusnya
cukup sekadar menjadi garis panduan kepada Majikan dan Pekerja.
Sumber: www.norhafeezlaw.com, 03 Oktober 2020

Scroll to Top