Artikel 18 – USAHA BERTERUSAN, MENYELURUH ELAK RASUAH JADI BUDAYA

Rasuah dan penyelewengan adalah jenayah mengancam nilai dan aturan masyarakat. Setiap negara
menggubal undang-undang anti rasuah sebagai antara langkah memerangi jenayah itu. Undang-
undang anti rasuah ditambah baik dari masa ke semasa bagi memastikan keberkesanan usaha dan
upaya melawan rasuah.
Namun, persoalan sering dibangkitkan, mengapa rasuah masih berleluasa
biarpun negara memiliki undang-undang tegas menanganinya.

Membicarakan keberkesanan undang-undang anti rasuah, ada beberapa perkara perlu diberi
tumpuan. Pertama, sifat jenayah rasuah itu sendiri berbeza dengan jenayah lain. Rasuah lazimnya
berlaku secara sukarela. Dalam erti kata lain, pemberi dan penerima mendapat keuntungan daripada
jenayah ini. Kedua-dua pihak saling bersekongkol dan mendapat laba.

Lazimnya, jenayah rasuah terbongkar apabila satu pihak tidak berpuas hati. Disebabkan sifat rasuah
ini, ada kala pihak pendakwaan terpaksa memilih pihak mana lebih wajar didakwa sama ada pemberi
atau penerima. Jenayah rasuah juga lazimnya dilakukan secara cukup sulit sehingga hanya pihak
terbabit sahaja mengetahui. Hal ini berbeza dengan jenayah lain, lazimnya ada saksi bebas boleh
dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.

Oleh demikian, dalam keadaan tertentu, pendakwaan sukar dibuat kerana bagi kes jenayah, pihak
pendakwaan perlu membuktikan kes mengatasi keraguan munasabah. Bagaimana pun, kemajuan
teknologi kini diharapkan dapat diguna pakai bagi memastikan kualiti siasatan dapat ditambah baik.

Penggunaan peralatan canggih dilihat membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) mengumpul keterangan mengikut keadaan (circumstantial evidence) dan sokongan tanpa
bergantung sepenuhnya kepada saksi bersubahat.

Seperkara lagi yang memberi kesan kepada penguatkuasaan undang-undang anti rasuah adalah
dakwaan campur tangan orang politik atau pemerintah. Pembabitan pihak berkedudukan dalam
politik atau kerajaan turut memberi impak besar kepada usaha mencegah rasuah. Kedudukan
dimiliki ada kala membolehkan golongan ini boleh terlepas daripada tindakan undang-undang. Di
samping itu, undang-undang anti rasuah dahulu lebih berkisar kepada tindak balas selepas jenayah
rasuah berlaku, bukan mengutamakan pencegahan.

Penekanan kepada pencegahan lazimnya hanya terbatas kepada arahan pentadbiran dalaman,
seperti kewajipan mengisytihar harta. Bagaimanapun, penggubalan undang-undang anti rasuah
mula memperkasa unsur pencegahan. Kaedah sering digambarkan sarjana undang-undang jenayah
adalah sebagai pendekatan pra-jenayah (pre-crime approach). Intervensi awal dirumuskan bagi
mencegah rasuah. Misalnya, penggubalan Seksyen 17A, Akta SPRM secara tidak langsung
mewajibkan badan korporat mempunyai tatacara mencukupi bagi mencegah rasuah dalam
organisasi.

Jika gagal berbuat demikian, badan korporat boleh dipersalahkan jika kesalahan rasuah berlaku
dalam organisasi terbabit. Ini selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-banga Bersatu
Memerangi Rasuah (UNCAC) yang diratifikasi Malaysia. Bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa
usaha membanteras jenayah dalam masyarakat tidak boleh hanya bergantung kepada reformasi
undang-undang semata-mata.

Dalam buku ‘Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu. Perlunya disegerakan Transformasi
Moral-Etika’,
Almarhum Prof Kamal Hasan menegaskan reformasi undang-undang berkaitan korupsi
atau politik wang semata-mata tidak akan menyekat sesetengah pihak menghindari penyakit gila
kuasa, tamak dan nilai jelik menjadi punca rasuah.

Hakikatnya perlu diakui tetapi pahit untuk ditelan, rasuah di negara ini sudah lama berakar dalam
masyarakat. Bergantung sepenuhnya kepada undang-undang seumpama hanya memangkas dahan
dan ranting ‘pokok rasuah’, tapi bukan mencabut akarnya. Kelak pokok itu rimbun semula.
Usaha menyeluruh dan berterusan amat mustahak bagi memastikan rasuah dinyahbudayakan
(denormalise) dalam masyarakat. Dalam erti kata lain, jangan sekali-kali dibiarkan rasuah dibiasakan
atau digambarkan sebagai suatu yang biasa.

Sumber: Dr Mukhriz Mat Rus, Penulis adalah Pensyarah Kanan (Jenayah & Keganasan)
Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), 27 Apr 2023,
Kolumnis@SPRM

Scroll to Top