Artikel 20- AWAS, JANGAN PANGGIL ‘DEAR’ ATAU SAYANG

Membaca laporan Sinar Ahad yang bertajuk ‘Curang, panggil rakan sekerja ‘sayang’ atau ‘dear’
dikenakan tatatertib’ membuatkan penulis tersenyum. Bukan kerana lucu tetapi lega kerana ada
usaha yang diambil. Menurut surat edaran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 7
April lalu, perbuatan curang, menjalinkan hubungan sulit dan memanggil rakan sekerja dengan
gelaran ‘sayang’ atau ‘dear’ antara salah satu jenis gangguan dan kesalahan penjawat awam. Tegas
kenyataan itu, perkataan atau ayat ‘sayang’ dan ‘dear’ yang diucapkan oleh mana-mana pegawai
awam sehingga mengganggu mangsa, dikategorikan sebagai kesalahan gangguan seksual secara lisan
atau audio. Jelas surat itu, kesemua kesalahan itu boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut
Peraturan 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Gangguan seksual di tempat kerja ini sebenarnya telah lama wujud, iaitu semenjak kaum wanita
mula memasuki dunia pekerjaan sebagai tenaga kerja dalam organisasi. Bagaimanapun, perilaku ini
pada masa itu tidak mendapat perhatian dan tidak dilaporkan sebagai suatu masalah. Hanya pada
pertengahan tahun 1970-an, isu gangguan seksual ini mendapat perhatian dan dianggap sebagai
perilaku yang negatif. Amerika Syarikat merupakan negara pertama yang menganggap gangguan
seksual sebagai satu bentuk diskriminasi yang patut diharamkan. Masalah gangguan seksual telah
mencapai tahap yang membimbangkan sungguhpun banyak langkah dan usaha telah diambil bagi
membendungnya.

Menurut satu tinjauan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 5
Disember 2022, lebih satu daripada lima orang yang bekerja di seluruh dunia mengalami beberapa
bentuk gangguan atau keganasan di tempat kerja. Berikutan kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa
(ILO) PBB dengan badan amal keselamatan, Yayasan Daftar Llyod’s dan tinjauan pendapat Gallup itu
mendapati keganasan dan gangguan di tempat kerja adalah fenomena yang meluas di seluruh dunia.

Tinjauan dalam 23 negara yang dibuat oleh ILO juga mendapati antara 22.8 peratus atau 743 juta
orang mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk keganasan atau gangguan di tempat kerja
semasa mereka bekerja yang dilakukan oleh ketua atau rakan sekerja mereka. Tinjauan itu adalah
percubaan pertama untuk menghasilkan gambaran keseluruhan global mengenai magnitud dan
kekerapan masalah serta halangan yang menghalang orang ramai daripada bercakap mengenainya.

Gangguan seksual di tempat kerja tidak berlaku kepada kaum wanita sahaja, lelaki pun ada yang
menjadi mangsa.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan seramai 257 pekerja lelaki
menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja dalam tempoh lima tahun yang direkodkan antara
2013 hingga 2017. Statistik itu juga menunjukkan 961 pekerja wanita menjadi mangsa dengan
jumlah keseluruhan dalam tempoh lima tahun itu adalah 1,218 kes melibatkan 1,272 suspek, di
mana 1,215 adalah lelaki dan selebihnya iaitu 57 suspek adalah wanita. Sama ada wanita atau lelaki
yang menjadi mangsa, mencegah adalah lebih baik kerana gangguan seksual ini meninggalkan
pelbagai kesan buruk yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan dan produktiviti kerja mangsa.

Memetik artikel yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan Universiti Putra Malaysia (UPM), bagi
menghindar berlakunya gangguan seksual, amalkan etika pergaulan antara lelaki dan perempuan.
Etika pergaulan yang dianjurkan dalam Islam merangkumi empat perkara, pertama serius dalam
pertemuan, kedua menahan pandangan (dan memelihara aurat), ketiga, menghindari khalwat, dan
keempat menghindari pertemuan lama yang berulang-ulang
.

Dalam era digital sekarang ini, etika pergaulan Islam ini perlu diamalkan bukan sahaja dalam
hubungan bersemuka tetapi juga berhubung melalui telefon dan semua jenis aplikasi di alam maya
.

Tahniah penulis ucapkan kepada pihak SPA atas amaran dan tindakan yang diambil ini bagi
membendung masalah gangguan seksual di tempat kerja. Sebenarnya ramai mangsa berada dalam
dilema, serba salah sama ada mahu melaporkan atau tidak, apatah lagi jika si pelaku itu ketua atau
orang atasan. Bagi sesetengah individu, memanggil rakan sekerja dengan panggilan ‘manja dan
mengada’ seperti itu perkara remeh dan tidak mendatangkan mudarat.

Bagi yang tidak kisah, mungkin tidak apa, tetapi kalau dah panggil suami atau isteri orang seperti itu,
bukan kah tidak manis dan boleh menimbulkan fitnah. Ini belum lagi yang suka bergurau berlebihan
dan membuat lawak lucah sehingga si pendengar merah muka kerana malu. Wahai pelaku, mohon
bertaubat ya!

Sumber: Pupe Rahaizad, 08 Mei 2023, Sinar Harian

Scroll to Top