NO. ARTIKEL: BIL. 12/2024 | PENGARUH MOTIVASI KEPUASAN KERJA TERHADAP PENINGKATAN PRESTASI KERJA DI DALAM ORGANISASI (SIRI 3)

MOTIVASI DAN KEPUASAN KERJA

Motivasi membantu manusia mencapai matlamat hidup dan menjadi penyebab kepada perubahan tingkah laku manusia. Merujuk beberapa teori pengurusan dan motivasi, motivasi wujud daripada keperluan asas dengan meminimumkan kekecewaan fizikal dan memaksimumkan keseronokan. Konsep ini menerangkan kenapa individu bermotivasi untuk berbuat sesuatu dan bersungguh terhadap apa-apa yang dilakukannya. Pekerja yang bermotivasi dalam pekerjaan memenuhi keperluan untuk hidup di samping keperluan untuk kepuasan hati, bergaul, mendapat pengiktirafan dan sebagainya. Keseluruhannya, motivasi adalah berhubung kait dengan emosi.

2.   Faktor Hygiene

  1. Persekitaran Kerja Keadaan di tempat kerja

Persekitaran kerja keadaan di tempat kerja merupakan salah satu faktor yang menjadikan seseorang berasa tidak berpuas hati dengan pekerjaan mereka. Keadaan di tempat bertugas merangkumi aspek-aspek seperti peralatan, ruang kerja, suhu, cahaya yang mencukupi dan sebagainya. Herzberg meletakkan keadaan di tempat kerja sebagai faktor ‘hygiene’ yang mendorong pekerja berpuas hati atau tidak terhadap pekerjaan mereka. Ia bererti bahawa keadaan yang menyeronokkan dan tempat kerja yang selesa akan mempengaruhi tahap kepuasan kerja. Sementara itu Herzberg telah membuat kesimpulan hasil kajiannya iaitu:

  1. Kepuasan akan menurun sekiranya ketidakadilan dan perasaan konflik meningkat.
  2. Kebanyakan ketidakadilan adalah berkait rapat dengan manusia dan kurang kaitan dengan tugas.
  3. Keadaan yang tidak mempunyai konflik menghasilkan kepuasan dan mengurangkan ketidakadilan.
  4. Keadaan pekerjaan itu juga adalah merujuk kepada perhubungan beberapa faktor fizikal, psikologi dan alam sekitar yang mempengaruhi organisasi dan pekerjaan.
  1. Penyeliaan 

Penyeliaan yang berkesan akan membantu meningkatkan produktiviti pekerja melalui pengurusan kerja yang baik, penyediaan arahan mengikut standard kerja, dan bekalan yang mencukupi dan sokongan lain. Penyelia menyelaraskan sistem kerja dengan tiga cara penting, iaitu:

  1. Melakukannya dengan memberi arahan,
  2. Memantau proses pelaksanaan kerja, dan
  3. Menilai hasil kerja diikuti dengan memberikan maklum balas.

Penilaian prestasi lebih berkesan kerana penyelia tidak hanya menumpukan pengembangan kemampuan, potensi kerjaya, dan kejayaan profesional setiap pekerja. Penyeliaan yang bertimbang rasa, mesra, senang didampingi, terbuka, melibatkan diri dengan pekerja bawahan merancang bersama dalam menentukan matlamat akan memberi kesan dalam produktiviti, efisien dan kepuasan kerja. Seseorang penyelia yang bersikap sebaliknya akan memberi kesan kepada ketidakpuasan kerja.

  1. Hubungan Interpersonal

Untuk menjalankan pekerjaan dengan baik, ia mesti disokong suasana kerja atau hubungan kerja yang harmoni, iaitu mewujudkan hubungan yang erat seperti keluarga yang saling menyokong di antara satu sama lain serta hubungan yang baik di antara pekerja bawahan dengan pekerja atasan. Manusia memerlukan sosial di tempat kerja kerana keperluan sosial secara teorinya adalah keperluan untuk bercinta, persahabatan, perasaan memiliki dan diterima oleh kumpulan, keluarga dan organisasi. Kumpulan yang mempunyai hubungan yang baik di tempat kerja cenderung menjadi pekerja yang lebih berpuas hati.

  1. Status & Gaji

Bagi pekerja, gaji adalah faktor penting untuk memenuhi keperluan diri dan keluarga mereka. Selain memenuhi keperluan asas setiap pekerja, gaji juga menjadi pendorong kepada pekerja untuk bekerja dengan penuh semangat. Gaji menjadi faktor ketidakpuasan jika pekerja merasakan yang mereka tidak menerima jumlah yang sesuai atau sepatutnya. Gaji yang berpatutan, akan memberikan kepuasan kepada pekerja itu sendiri di samping pekerja meraka akan lebih komited serta meningkatkan produktiviti mereka di dalam pekerjaan.

Penutup

Kepuasan kerja amat perlu kepada setiap pekerja. Apabila wujudnya kepuasan kerja, ia akan mendorong pekerja untuk lebih bermotivasi, meningkatkan prestasi dan produktiviti dan dalam masa yang sama juga dapat mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang negatif seperti malas bekerja, ponteng, berhenti awal, jenayah dan sebagainya kepada pekerja. Faktor-faktor yang mempengaruhi kepuasan kerja perlu diambil berat dan menjadi fokus kepada pihak pengurusan atau sumber manusia sesebuah organisasi.

Scroll to Top