NO. ARTIKEL: BIL. 10/2024 | PENGARUH MOTIVASI KEPUASAN KERJA TERHADAP PENINGKATAN PRESTASI KERJA DI DALAM ORGANISASI

Pekerja merupakan aset penting bagi sesebuah organisasi untuk mencapai matlamat dan kegiatannya. Tanpa pekerja, tidak mungkin organisasi dapat beroperasi dengan berkesan dan lancar. Tanpa pekerja yang produktif juga, organisasi akan gagal berfungsi seperti yang diingini. Banyak faktor yang boleh menyebabkan pekerja tidak produktif di tempat kerja, di antaranya ialah tiada kepuasan kerja.

Kepuasan kerja merupakan antara isu yang diberi perhatian dalam setiap organisasi. Perasaan ini penting apabila pekerja memberi sumbangan kepada organisasi untuk mencapai matlamat mereka. Kepuasan kerja adalah bersifat individual dan merupakan isu yang sering menjadi punca masalah ini antara majikan dengan pekerja akan menyebabkan matlamat organisasi tidak tercapai .

Sehubungan dengan itu , pengurusan sumber manusia perlu diberi perhatian yang khusus kerana ia berfungsi untuk menguruskan tenaga kerja secara efektif untuk mencapai matlamat organisasi. Ia dilaksanakan dengan memberi didikan, latihan dan pembangunan supaya mampu membimbing pekerja mencapai matlamat organisasi. Sekiranya pengurusan sumber tenaga manusia tidak dilaksanakan secara betul, konflik antara pekerja dengan majikan akan timbul dan akhirnya akan mencetuskan perbalahan atau rasa tidak puas hati di dalam kalangan pekerja terhadap pekerjaan mereka sendiri. Perkara ini perlu dipandang serius.

Konsep Prestasi Kerja

Prestasi kerja adalah satu proses pengurus bertanggungjawab memastikan aktiviti dan produktiviti pekerja selari dengan matlamat organisasi. Petunjuk prestasi utama atau Key Performance Indicators (KPI) adalah satu sistem pengukuran yang mudah, berkesan dan membantu organisasi menjelaskan dan mengawal tahap kemajuan sesuatu proses perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan selaras dengan misi dan visinya. Prinsip- prinsip KPI ialah meletakkan sasaran, boleh diukur dengan angka, diukur dalam keadaan normal dan selaras dengan misi dan visi organisasi. KPI adalah ukuran spesifik prestasi organisasi dalam bidang tertentu.

Prestasi kerja dipengaruhi oleh dua perkara utama iaitu faktor organisasi dan faktor peribadi. Faktor organisasi meliputi sistem penghargaan, kualiti pengawasan, beban kerja, nilai dan minat, serta keadaan tempat kerja. Faktor peribadi meliputi kekananan (seniority), masa kerja, kemampuan ataupun keterampilan yang berkaitan dengan bidang pekerjaan dan kepuasan hidup. Prestasi kerja dapat diukur dari segi ketepatan, kualiti, tahap kepuasan hati pelanggan dan pembaziran bahan.

Konsep Kepuasan Kerja

Kepuasan kerja secara umum adalah suatu keseronokan atau perasaan positif hasil sesuatu kerja atau pengalaman kerja. Kepuasan kerja juga melibatkan interaksi antara pekerja dengan pekerjaannya. Kepuasan kerja melibatkan emosi pekerja terhadap balasan yang diterima hasil titik peluh yang dicurahkan kepada pekerjaan tersebut. Balasan yang diberikan tidak kira sama ada berbentuk kewangan atau bukan. Kepuasan kerja mempunyai implikasi yang jelas terhadap prestasi kerja. Kesan kepuasan kerja bukan sahaja kepada pekerja, tetapi juga terhadap majikan, organisasi dan juga masyarakat.

Kajian bagi mengenal pasti tahap kepuasan bekerja , perlu untuk mengukur nilai kemanusiaan dan juga faedah kewangan. Seawal tahun 1918, Edward Thorndike telah mendedahkan hubung kait antara kerja dengan kepuasan bekerja dalam Jurnal Aplikasi Psikologi. Pekerja-pekerja yang mempunyai tahap kepuasan bekerja yang tinggi biasanya menunjukkan ciri-ciri berikut:

  • Mempercayai organisasi akan terus berjaya.
  • Prihatin terhadap kualiti kerja yang dilaksanakan / diusahakan.
  • Rasa bertanggungjawab terhadap kejayaan/ kejatuhan organisasi.
  • Mempunyai tahap ketaatsetiaan yang tinggi pada organisasi.
  • Lebih efisien, efektif dan produktif.

Motivasi dan kepuasan kerja motivasi membantu manusia mencapai matlamat hidup dan menjadi penyebab kepada perubahan tingkah laku manusia. Merujuk beberapa teori pengurusan dan motivasi, motivasi wujud daripada keperluan asas dengan meminimumkan kekecewaan fizikal dan memaksimumkan keseronokan. Konsep ini menerangkan kenapa individu bermotivasi untuk berbuat sesuatu dan bersungguh terhadap apa-apa yang dilakukannya. Pekerja yang bermotivasi dalam pekerjaan memenuhi keperluan untuk hidup di samping keperluan untuk kepuasan hati, bergaul, mendapat pengiktirafan dan sebagainya. Keseluruhannya, motivasi adalah berhubung kait dengan emosi.

Scroll to Top