Artikel 4-LELAKI SERING TERPINGGIR

Walaupun kita sering mendengar mengenai kepentingan kesaksamaan jantina dalam pelbagai aspek, namun, apabila bercakap mengenai isu gangguan seksual, golongan lelaki sering terpinggir. Lazimnya, isu gangguan seksual itu dikaitkan dengan wanita, golongan yang dikatakan sering menjadi mangsa. Tanpa kita sedar, ia sebenarnya turut berlaku kepada kaum lelaki, namun, sangat jarang didengar berlaku kerana mereka yang terlibat enggan melaporkan kerana bimbang maruah akan tercalar selain kaum itu amat dikenali dengan sikap ego mereka.

Gangguan seksual adalah sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini melalui cara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal. Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja sama ada berlainan atau sama jantina. Penting untuk mangsa tahu bahawa gangguan seksual menyebabkan mereka berasa tidak selesa, tersinggung, terhina, terugut, takut atau terancam dengan tingkah laku pelaku.

Di Malaysia, kaum lelaki juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa gangguan seksual. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari tahun 2013 hingga 2017, terdapat seramai 257 lelaki direkodkan menjadi mangsa daripada keseluruhan 1,218 kes gangguan seksual yang dilaporkan. Jumlah tersebut dipercayai jauh kurang berbanding kejadian sebenar yang berlaku dalam masyarakat kita kerana mereka bimbang akan menjadi bahan jenaka orang ramai kerana lelaki sepatutnya pandai menjaga diri. Mereka ini tidak hanya terdedah dengan gangguan daripada wanita, malah turut menjadi mangsa usikan golongan pondan serta lelaki homoseksual.

Presiden Pengguna Siber Malaysia Siraj Jalil berkata, mangsa lelaki tidak hanya diganggu menggunakan perlakuan fizikal malah melalui isyarat tubuh selain kata-kata dihantar melalui media sosial. Bagaimanapun, ramai mangsa lelaki yang berdepan gangguan seksual di media sosial tidak tampil membuat laporan polis, memandangkan mereka rasa malu selain berasakan perkara itu remeh kerana apa-apa yang berlaku tidak membabitkan fizikal secara langsung.

Laporan Equal Employment Opportunity Commission pula menyatakan lelaki kerap menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja. Di Amerika Syarikat, sebanyak 17.1 peratus daripada 6,822 kes melibatkan gangguan seksual pada 2015 dilaporkan oleh golongan lelaki. Antara sebab mereka melaporkan kepada pihak berkuasa adalah ajakan melakukan hubungan seks oleh wanita dan lelaki selain dibuli dengan kata-kata lucah. Tidak hanya gangguan rakan sepejabat, banyak kes turut dilaporkan melibatkan pegawai atasan.

Dalam masa yang sama, stigma masyarakat beranggapan bahawa lelaki kuat fizikal, emosi dan mental dalam menghadapi segala masalah membuatkan mangsa takut untuk melaporkan kejadian yang berlaku pada diri mereka, meskipun gangguan seksual mampu meninggalkan kesan trauma. Sehubungan itu, masyarakat perlu mengubah persepsi bahawa masalah gangguan seksual hanya boleh melibatkan mangsa kaum wanita.

Akibat daripada persepsi ini, ramai mangsa lelaki berasa malu untuk membuat laporan mengenai gangguan seksual yang berlaku terhadap diri mereka. Banyak kajian dilakukan di serata dunia menunjukkan gangguan seksual lelaki turut berlaku di tempat kerja dan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Penting untuk mangsa gangguan seksual mempertahankan hak mereka.

Mangsa sama ada lelaki ataupun wanita tidak harus berdiam diri serta membiarkan masalah itu berlalu tanpa tindakan diambil terhadap pelaku bagi mengelakkan masalah gangguan seksual berkenaan berterusan berlaku terhadap diri mereka serta orang lain.

Justeru, bagi melindungi hak tersebut, Malaysia telah meluluskan RUU Antigangguan Seksual pada Ogos 2022, selepas dirangka lebih 10 tahun, sejak 2011. Melalui RUU ini, ia mengiktiraf gangguan seksual sebagai pencabulan maruah manusia, satu bentuk diskriminasi dan keganasan berasaskan jantina. Bermakna ia turut melindungi kaum lelaki.

Diharap dengan adanya undang-undang itu, lebih ramai golongan lelaki akan tampil melaporkan sebarang kejadian gangguan seksual terhadap mereka pada masa hadapan.

Sumber: Zarina Abdullah, 8 Januari 2023, Suara Sarawak

Scroll to Top