Artikel 27- RASUAH: MULUT KATA TOLAK TAPI HATI TIDAK

KOLAR PUTIH

Setiap anggota masyarakat terutama yang masih bergelumang dalam dunia rasuah perlu berusaha untuk menjaga dan memperbaiki nilai integriti diri masing-masing melalui tahap kesedaran tinggi. Mana-mana individu yang masih ligat memberi mahupun menerima rasuah perlu sedar kesan dan impak jenayah kolar putih ini terhadap diri, keluarga dan kerjaya.

Sedarlah, habuan yang diterima itu tidak berkat dan akan memberi kesan besar kepada kehidupan diri dan keluarga. Misalnya bagi orang Islam, soal halal dan haram serta keberkatan rezeki sangat dititikberatkan apatah lagi jika duit rasuah itu menjadi darah daging seisi keluarga. Jadi, peranan suami, isteri, ibu dan bapa sangat penting dalam memberi peringatan dan kesedaran kepada ahli keluarga supaya sentiasa menjauhi najis rasuah.

Selain itu, kaki rasuah juga perlu sedar sama ada rakan setugas atau masyarakat sekeliling yang tahu gerak geri kita pastinya akan memandang serong dan mula menjauhkan diri daripada kita agar tidak terpalit sama. Keadaan akan menjadi lebih teruk andai tertangkap kerana mengaibkan diri dan keluarga sekali gus memusnahkan kerjaya dan juga masa depan secara keseluruhannya. Majikan mana yang mahu menggaji kita jika tahu latar belakang sikap dan tingkah laku keji seperti ini.

Bayangkan betapa malunya suami atau isteri, anak-anak dan ahli keluarga lain jika kita ditangkap kerana memberi atau menerima rasuah? Bayangkan juga, apa perasaan ahli keluarga jika mengetahui segala perbelanjaan dilakukan selama ini terutama kos makan dan minum adalah hasil wang rasuah?

Jadi, setiap seorang daripada kita perlu meningkatkan elemen integriti dan jati diri supaya mampu menahan godaan pelbagai habuan ditawarkan atau yang mendorong kita untuk menyalah guna kuasa. Ingat, jawatan, kedudukan dan kuasa diberikan adalah satu amanah dan tanggungjawab perlu sentiasa dijaga dan dipelihara.

Jangan sesekali menggadai prinsip dan maruah diri hanya kerana sogokan dan kekayaan bersifat sementara. Ia tidak berbaloi jika dibandingkan kesan yang bakal menimpa apabila gerak geri kita dihidu pihak berkuasa. Jadi, bagi yang masiih belum insaf, segeralah berbuat demikian sebelum semuanya terlambat.

SPRM

Selain itu, majikan juga perlu meningkatkan lagi inisiatif untuk memantapkan amalan tadbir urus dan tata kelola di organisasi masing-masing sekali gus menutup rapat segala ruang dan peluang yang ada untuk anggota organisasi terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa. Tuntasnya, setiap organisasi perlu mewujudkan ekosistem dan budaya kerja kental integriti dan kalis rasuah.

Tanggungjawab majikan ini dilihat sangat signifikan kerana baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan terdapat kes di mana individu yang telah menyatakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) tetapi memungkiri janji dan ditahan disebabkan perbuatan itu. Ini menunjukkan janji individu dan organisasi untuk mencegah rasuah hanya di mulut dan tidak sampai ke hati sanubari.

IBR merupakan inisiatif diperkenalkan SPRM yang memberi penekanan kepada ikrar dan janji dibuat oleh kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama memegang jawatan. Jadi, besarlah harapan kita agar program IBR ini tidak bersifat one-off atau kosmetik semata-mata sebaliknya perlu dihayati dan diamalkan sepanjang masa.

Jujurnya, kita perlu akui rasuah sudah jadi endemik di negara kita dan sebati dalam kehidupan seharian masyarakat. Walaupun majoriti tidak terlibat dan mengeji perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, namun kelompok yang terlibat tetap menjadi ancaman kepada seluruh ekosistem kehidupan rakyat kerana mengganggu tadbir urus dan tata kelola di pelbagai peringkat penyampaian perkhidmatan. Malah turut menjadi ancaman kepada keselamatan negara apabila melibatkan pihak penguat kuasa.

Justeru, suka atau tidak, kita perlu memberi perhatian lebih serius dalam aspek memupuk kesedaran awam tentang kesan negatif rasuah terhadap individu, keluarga, kerjaya dan negara. Kepada kaki rasuah, sudah-sudahlah menggadai prinsip dan integriti, sampai bila nak makan rasuah?

Sumber: Petikan daripada Artikel Noor Mohamad bin Shakil Hameed, Timbalan Ketua, Panel Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Kolumnis SPRM, 18 Julai 2023, Website SPRM

Scroll to Top