“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka.” (Al-Quran; Ar-RA’du: 11)


Tata kelola (governans) yang baik merupakan satu aspek kritikal bagi kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara, yang mana ini memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat. Perancangan governans yang konkrit dapat menatijahkan ketelusan, akauntabiliti, keterangkuman dan keberkesanan; yang kesemua ini menyumbang kepada wujudnya satu pentadbiran yang madani, demokratik dan mampu berfungsi dengan baik.


Tata kelola yang baik ini, bukanlah wujud secara kebetulan atau satu ‘kenasibaikan’, malah semestinya merupakan hasil kepada perancangan dan upaya yang bersungguh-sungguh, dalam merencana dan melaksanakan perancangan tersebut.


Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menyatakan perancangan governans (tata kelola) ini adalah penting untuk beberapa sebab. Pertama, ia membantu bagi mewujudkan visi dan strategi yang jelas untuk pembangunan negara, yang turut membantu dalam memastikan semua sumber diperuntukkan dengan cekap dan berkesan.


Kedua, perancangan yang dirumus dengan baik dapat meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti kerana ia menetapkan matlamat, sasaran dan mekanisme khusus untuk menilai kemajuan dan pencapaiannya. Yang terakhir, perancangan governans (tata kelola) yang mantap sangat penting bagi memupuk elemen keterangkuman. Elemen ini akan membolehkan penyertaan pihak-pihak pemegang taruh dalam proses membuat keputusan.


Ambil sahaja contoh negara Korea Selatan. Pada satu ketika, Korea Selatan merupakan negara yang miskin dan mundur jika dibandingkan dengan tahap pembangunan Malaysia. Akan tetapi, Korea Selatan telah melakukan satu lonjakan yang ketara bukan sahaja dalam pembangunan negara dan peningkatan taraf hidup rakyatnya, malah dalam dasar dan prosedur pentadbiran negara itu.


Pada tahun 2005, negara ini menduduki tempat ke-40 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), indeks yang menilai persepsi orang ramai mengenai sejauh mana wujudnya rasuah dalam sektor awam sesebuah negara. Pada tahun itu juga, “ranking” Malaysia dalam CPI hampir sama dengan Korea Selatan, iaitu pada kedudukan ke-39, satu tempat lebih tinggi.


Walau bagaimanapun, menjelang 2020, Korea Selatan telah meningkat pada kedudukan ke-33, manakala kedudukan Malaysia telah jatuh ke kedudukan ke-59. Seterusnya, pada tahun 2022, prestasi Korea Selatan bertambah baik menjadi kedudukan ke-31. Ini mencadangkan, telah berlaku peningkatan yang ketara dalam ketelusan dan akauntabiliti.

Secara berkesan, Petunjuk Tadbir Urus Dunia (WGI) menilai tadbir urus sesebuah negara berdasarkan enam dimensi: suara dan akauntabiliti, kestabilan politik dan kekurangan keganasan, keberkesanan kerajaan, kualiti kawal selia, kedaulatan undang-undang dan kawalan rasuah. Korea Selatan menduduki tempat ke-18 dalam laporan WGI terkini. Skor tinggi Korea Selatan menunjukkan keberkesanan kerajaan dan kualiti kawal selia yang kukuh.


Sehubungan itu, dedikasi kerajaan Korea Selatan untuk menghapuskan amalan rasuah telah menjadi pendorong utama di sebalik membangunkan rancangannya untuk menambah baik tadbir urus.Kerajaan negara ini telah melaksanakan pelbagai pembaharuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berhasrat untuk menjadikan operasinya lebih terbuka dan bertanggungjawab kepada orang ramai. Pembaharuan ini termasuk mengetatkan undang-undang dan peraturan anti-rasuah negara, meningkatkan kebebasan kehakiman dan menambah baik keterbukaan prosedur perolehan awamnya.


Selain itu, Korea Selatan telah mengorak langkah ke arah meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awamnya, yang mana ini merupakan satu perkembangan yang positif. Ia telah membuat pelaburan yang besar dalam teknologi dan inovasi, yang telah menyumbang kepada memudahkan prosedur pentadbiran dan meningkatkan penyediaan perkhidmatan. Sebagai contoh, negara ini telah memperkenalkan pelbagai perkhidmatan digital, seperti pemfailan cukai dalam talian dan pengundian elektronik, yang telah memudahkan proses individu berinteraksi dengan kerajaan. Ini telah meningkatkan bilangan interaksi positif.


Di samping itu, Korea Selatan juga telah membuat pelaburan yang besar dalam bidang pendidikan dan inisiatif meningkatkan kemahiran, yang telah menyumbang kepada pembangunan tenaga buruh yang lebih berpengetahuan dan berkebolehan. Ini telah membantu dalam meningkatkan taraf umum perkhidmatan awam negara dan telah menyumbang kepada pengembangan ekonomi secara keseluruhan.


Kesimpulannya, pengalaman Korea Selatan ini menunjukkan dengan jelas keperluan untuk mempunyai perancangan governans (tata kelola) yang dibangunkan dengan baik untuk tadbir urus yang baik. Sepanjang dekad yang lalu, Korea Selatan telah mencapai kemajuan yang besar ke arah memperbaiki amalan pengurusan mereka, menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan menyeluruh untuk mereka.


Menggalakkan kemajuan ekonomi, pengurangan kemiskinan, dan peningkatan kualiti hidup penduduk semuanya bergantung kepada kerajaan yang berkesan. Oleh sebab itu, negara Malaysia juga perlu meletakkan keutamaan yang tinggi kepada prinsip, ekosistem dan perancangan tata kelola (governans) yang kukuh sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi dan kestabilan negara.


Namun, teraju kepimpinan yang mantap dan matang adalah prasyarat penting bagi sesebuah negara menjadi maju dan makmur. Natijahnya, keperluan rakyat dipenuhi, sumber negara digunakan dengan berkesan dan korupsi dapat diminimumkan. Malaysia boleh mengambil teladan daripada negara-negara yang telah berjaya membangunkan negara mereka apabila memberikan tumpuan yang serius kepada perancangan tata kelola (governans) baik untuk sistem pentadbiran mereka.


Sumber: Mohd Gunawan Bin Che Ab Aziz, Timbalan Ketua, Timbalan Pengarah (Dasar Governans), Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kolumnis SPRM, 31 Julai 2023, Website SPRM
en_GBEN
Verified by MonsterInsights