Artikel 26- SUBURKAN NILAI BERINTEGRITI TINGGI TUTUP RUANG, PELUANG RASUAH

Antara usaha Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) memperkukuhkan fungsinya adalah memperkasakan aspek tatakelola dan tadbir urus baik, sekali gus mahu menjadi contoh ke arah itu dengan mengadakan dan mengisi Hari Integriti 2023.

Memetik kata-kata tokoh korporat, Warren Edward Buffett, “Dalam mencari orang diambil bekerja, lihat kepada tiga kualiti: integriti, kecergasan dan tenaga. Jika mereka tidak mempunyai yang pertama, dua yang lain akan membunuh anda.”

Justeru, WTCKL memutuskan untuk mengukuhkan lagi amalan ini dalam setiap aspek sumber dan tindakan dan proses membabitkan semua peringkat kerana amalan integriti adalah satu kitaran ekosistem lengkap yang memerlukan peranan dan tanggungjawab semua aktor dalam dunia korporat.

Hakikatnya, integriti adalah sesuatu yang kita belajar dan diamalkan sepanjang masa bermula sejak kecil, institusi pendidikan dan pengajian kemudian di tempat kerja.

Di tempat kerja, kita perlu memperkukuh amalan integriti dan memperkasakan diri dengan nilai berkenaan hingga kita meninggalkan dunia kelak. Budaya integriti bermakna setiap hari, sepanjang masa dan dalam setiap tindakan tidak kira masa dan sama ada orang lain melihat atau tidak.

Sebagai nadi industri, WTCKL mempunyai tugas penting untuk memperkasakan nilai integriti bagi mewujudkan persekitaran membina, selaras usaha diambil kerajaan menerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), antaranya pengenalan seksyen berkaitan Liabiliti Korporat dalam Akta SPRM 2009 dua tahun lalu.

Sambutan Hari Integriti 2023 selaras matlamat Pelan Anti Rasuah Kebangsaan (NACP) 2019-2023. Dapatan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International menunjukkan setiap pihak berperanan untuk memperbaiki kedudukan Malaysia, sekali gus menjadikan Malaysia negara bebas rasuah dan berintegriti tinggi.

Saya faham keperluan ini bukan sahaja atas kapasiti Pengarah Urusan WTCKL, bahkan bersandarkan pengalaman selaku anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

Komited Tingkat Integriti

Justeru, kami berbangga menjadi peneraju dan berhasrat berada di barisan hadapan dalam industri acara perniagaan. Kami komited dalam usaha meningkatkan integriti, memerangi rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan pecah amanah pada semua peringkat.

Ini bukan hanya dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja kondusif untuk memupuk etika, integriti dan kecekapan, bahkan memastikan mekanisme dalaman ditetapkan untuk mengurus, melaksana serta menilai langkah pencegahan rasuah dengan berkesan.

Dengan cara ini, kita boleh memberi jaminan kepada pihak berkepentingan dan pelanggan bahawa rasuah tidak mempunyai tempat. Kita perlu menoktahkan amalan negatif ini dengan menyuburkan nilai berintegriti tinggi.

Setiap ruang dan peluang memberi laluan kepada rasuah perlu dihapuskan sejajar pendirian sifar toleransi terhadap rasuah.

Hakikatnya, integriti turut penting dalam gaya kepemimpinan berkhidmat atau servant leadership yang memerlukan ciri seperti empati, mendengar, menyelia dan komited terhadap pembangunan diri orang lain.

Perkara utamanya adalah kepemimpinan melalui teladan dan keperluan menggalakkan orang lain melakukan perkara sama demi kebaikan orang lain. Pada asasnya, integriti tempat kerja adalah mengenai mempunyai prinsip dan nilai kukuh, dipamerkan melalui tingkah laku setiap pekerja dalam persekitaran kerja.

Justeru, integriti tempat kerja adalah penting untuk syarikat dan pekerja. Menunjukkan integriti menggalakkan kepercayaan, rasa hormat dan kerjasama dalam kalangan pekerja, yang membawa kepada persekitaran kerja lebih cekap serta produktif.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pernah bertitah, integriti adalah apa kita semua perlu perjuangkan. Itu sahaja boleh menjadikan kita lebih kuat dan seseorang lebih baik.

Kualiti masa depan negara bergantung kepada tindak-tanduk anggota masyarakat. Sejauh mana mereka mengutamakan dan menitikberatkan budaya berintegriti.

Hakikatnya, kita mempunyai tugas, peranan dan tanggungjawab jitu untuk menjayakan misi memperkasakan amalan berintegriti ke tahap lebih tinggi, tetapi kita tidak boleh merealisasikan tanpa sokongan seluruh rakyat.

Baru-baru ini, Parlimen membahaskan Laporan Ketua Audit Negara buat julung kali, sekali gus langkah bersejarah dalam usaha negara menangani isu integriti, tanggungjawab, ketirisan dan ketelusan yang berkait rapat dengan amalan rasuah.

Harus diingat, memperkukuh budaya berintegriti adalah kitaran memerlukan tanggungjawab padu bersama setiap rakyat.

Sumber: Datuk Seri Irmohizam Ibrahim, Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Pameran dan Konvensyen World Trade Center Associations (WTCA), Kolumnis SPRM, 5 Julai 2023, Website SPRM

Scroll to Top