Artikel ini merupakan sebuah sorotan kajian mengenai integriti. Integriti merangkumi pelbagai nilai murni termasuk kesopanan, ketepatan, kebolehpercayaan, ketekunan, kemuliaan, kesederhanaan, ketinggian peribadi, jujur, ikhlas, amanah, berpegang pada janji, bercakap benar, dan pelbagai sifat positif lain.

Akan tetapi, sesuatu organisasi tidak mampu mencapai kecemerlangan jika berlaku masalah dalaman yang berpunca dari integriti atau jika terdapat pengaruh luar yang tidak diselesaikan berikutan kelemahan institusi itu sendiri. Kebanyakan masalah integriti yang dibangkitkan adalah merujuk kepada hal-hal yang remeh yang sering berkait dengan bidang masing-masing, walau bagaimanapun, ia tetap salah dan perlu diperbetulkan.

Oleh itu, terdapat keperluan terhadap mengenal pasti punca kelemahan pembudayaan dan penguatkuasaan integriti dalam sesuatu organisasi, khasnya dalam diri masyarakat. Hasil dari permasalahan yang berbangkit ini, dua kemungkinan telah digariskan yang bertujuan membincangkan faktor isu ini sukar menunjukkan yang ianya akan berakhir. Hasil sorotan kajian mendapati, pengetahuan dan pembudayaan tentang isu integriti dilihat menjadi kelemahan ketara dalam kegagalan pengaplikasian integriti dalam pekerjaan. Oleh itu, kefahaman tentang konsep integriti seorang kakitangan adalah perlu bagi memperlihatkan keselarasan antara kata-kata dengan perlakuan, bertindak bersandarkan kepada prinsip moral, etika dan undang-undang, serta mengutamakan kepentingan umum melebihi kehendak diri dan melakukan kerja dengan komprehensif, holistik dan relevan.

Selain itu, budaya organisasi berlandaskan piawai etika yang tinggi harus menjadi penggerak dan pengaruh positif kepada amalan tingkah laku beretika dalam kalangan pekerja.

 Kata kunci: integriti, pengetahuan, pembudayaan

Pembudayaan Aktiviti Tidak Beretika Tanpa Sedar dalam kalangan Penjawat Awam.

Terdapat pelbagai punca yang dikenal pasti hasil daripada kajian yang dijalankan oleh beberapa pengkaji  tentang masalah integriti organisasi penjawat awam, antaranya, faktor ketirisan integriti masih terus berlaku dan faktor utama adalah daripada peribadi individu itu sendiri yang mengatasi prosidur dalaman, struktur dan sistem. Seterusnya, faktor organisasi yang perlu menyediakan prosedur kerja, kod etika dan peraturan yang kurang jelas bagi memperlihatkan tingkah laku beretika. Perkara ini berlaku kerana integriti yang konsisten diterapkan dalam kalangan pekerja menerusi pengaruh kepimpinan memberi pengaruh yang sangat besar ke atas perlakuan beretika atau tindakan kakitangan mereka.

Selain itu, budaya organisasi yang tidak dipraktikkan bersama dan tidak disebarkan dalam kalangan organisasi. Budaya organisasi berlandaskan piawai etika yang tinggi yang boleh menjadi penggerak dan pengaruh positif kepada amalan tingkah laku beretika dalam kalangan pekerja. Terakhir ialah tahap kritikal sesuatu isu etika tersebut diterima oleh ahli organisasi terhadap salah laku yang berlaku. Seandainya sesuatu tindakan yang dilakukan adalah salah dan boleh menyebabkan kemudaratan terhadap pihak lain secara tidak langsung memperlihatkan bahawa isu tersebut adalah penting yang perlu diberikan perhatian serius . Menerusi penerangan yang diperolehi melalui sebuah kajian ini, beberapa masalah integriti yang sering berlaku dalam kalangan penjawat awam yang kerap dianggap remeh akan tetapi masih satu kesalahan akan dibincangkan dengan lebih mendalam

Rasuah

Budaya rasuah bukanlah perkara asing di kalangan masyarakat Malaysia kerana hampir setiap hari kes atau salah laku ini sering terpapar di ruang media sama ada di berita mahu pun di dada akhbar. Budaya ini bukanlah baru wujud di dalam Malaysia, tetapi sudah wujud hampir berpuluh-puluh tahun lamanya baik dari mereka yang mempunyai jawatan tinggi kemudian merebak ke pekerja bawahan. Malah, ianya bukan berlaku di negara-negara yang membangun dan maju saja, bahkan negara yang dalam keadaan mundur juga budaya dan salah laku rasuah boleh berlaku. Gejala rasuah ini bagaikan tiada titik noktah atau boleh kita umpamakan merupakan satu kanser yang tiada ubat untuk dirawat. Bukan itu saja, aktiviti rasuah ini tidak mengenal bangsa, agama, dan juga umur. Apa yang menyedihkan ialah salah laku rasuah ini hampir boleh dikatakan kebanyakan berlaku di kalangan mereka yang bekerja sebagai penjawat awam. Kenyataan ini bukanlah untuk menjatuhkan martabat penjawat awam yang mana agensi perkhidmatan lain tidak terlibat, tetapi ingin ditegaskan ialah budaya rasuah di kalangan penjawat awam bagaikan tiada kesudahan.

Berita Atau Maklumat Palsu

Penyebaran berita atau maklumat palsu sudah menjadi makanan di kalangan masyarakat pada zaman sekarang ini. Dengan teknologi yang semakin canggih, penyebaran berita dan info tidak tepat semakin berleluasa dan mudah diakses dengan pelbagai jenis peranti teknologi dan aplikasi. Sebagai penjawat awam yang beretika, budaya ini hendaklah dijauhi sebaik mungkin. Sebab utama budaya ini masih berleluasa di kalangan masyarakat kita ialah mereka kurang atau dengan kata lebih tepat, malas membaca dan mencari sumber yang betul. Jika budaya ini tidak dipantau dan dibendung secara dalaman, nescaya nama baik dan imej sesuatu organisasi akan dipandang buruk, seterusnya boleh mengakibatkan hilang rasa hormat dan kepercayaan oleh organisasi lain .

Lebih merisaukan, jika melibatkan peringkat yang lebih tinggi, nama baik penjawat awam akan menjadi bahan bualan oleh orang ramai. Seseorang yang terlibat dengan salah laku ini boleh dikenakan tatatertib dari institusi tersebut dan juga boleh dikenakan hukuman denda dan penjara dari pihak mahkamah jika disabitkan bersalah. Sebagai penjawat awam yang beretika, adalah menjadi satu tanggungjawab untuk tidak menyebar apa-apa jenis berita palsu kepada mana-mana pihak tanpa memeriksa kesahihan maklumat tersebut dari sumber yang boleh dipercayai.

Pengurusan dan Penjagaan Masa

Budaya tidak mementingkan pengurusan masa di kalangan pekerja bukanlah perkara asing sama ada di sektor swasta mahupun kerajaan, baik dari pekerja atasan hingga ke pekerja bawahan. Sikap sambil lewa dalam pengurusan/penjagaan masa bukan kes yang berat tetapi merupakan salah laku yang melanggar kod etika bekerja. Hal ini disebabkan, kebanyakan pekerja tidak cakna melakukan dan ada segelintir darinya memandang remeh akan perkara ini. Antara contoh budaya tidak beretika dalam pengurusan masa ialah rehat tanpa mengira waktu dan mengambil masa yang lama, lambat hadir ke kerja/ mesyuarat atau melibatkan perjumpaan tanpa alasan yang munasabah, mengetik kad perakam bagi pihak lain, lambat menyiapkan tugasan kerja dalam tempoh yang telah ditetapkan, dan juga pulang awal dari waktu kerja atas alasan ingin mengambil anak dari sekolah atau dari pusat jagaan. Budaya sebegini hendaklah dielakkan oleh mana-mana pekerja kerana boleh mencemarkan imej dan nama buruk sesuatu organisasi. Pada masa yang sama juga boleh mengganggu urusan kerja organisasi tersebut jika perkara ini tidak dipantau.

Perbincangan

Garis panduan akhlak dan etika dalam bekerja telah disediakan bagi setiap penjawat perkhidmatan awam di Malaysia untuk dirujuk dalam organisasi awam masing-masing. Semua kakitangan terbabit secara langsung untuk mengikut dan mengamalkan garis panduan akhlak dan etika kerja tersebut. Sebagai warga institusi berorientasikan perniagaan dan keuntungan, kekuatan iman dan nilai etika kerja adalah wajib ada dalam diri dan sebati di dalam jiwa, manakala isu integriti sepatutnya tidak berlaku dalam organisasi ini walaupun ada yang mengatakan bahawa tiada manusia yang sempurna, akan tetapi ia bukan alasan untuk tidak berubah dan mencuba ke arah yang lebih cemerlang selari dengan DNA organisasi.

Pelbagai  usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh syarikat / organisasi menerusi artikel integriti, poster kesedaran, sesi pengayaan ilmu, program kesedaran, dan pelbagai lagi inisiatif yang diambil bagi menerapkan nilai integriti serta tiga Teras Nilai Murni yang lain. Selain itu, tanpa menyemai nilai murni dan kebaikan dalam kalangan pekerja muda khususnya akan lebih mudah terpengaruh dengan perkara negatif yang diakibatkan oleh perubahan zaman yang kian rancak berlangsung. Ketiadaan nilai murni yang dipegang terutama bagi yang baru melangkah ke alam pekerjaan, mereka lebih mudah untuk terjebak dengan aktiviti bersifat jenayah secara tidak langsung merencatkan keamanan dan kesejahteraan hidup mereka khususnya dan masyarakat secara amnya.

Kesimpulan

Konklusinya, integriti bermaksud kualiti terbaik yang wujud secara holistik dan padu dalam diri seseorang dan organisasi. Integriti turut mempunyai perkaitan dengan etika yang berdasarkan tindakan seharian yang tidak hanya terfokus kepada isu rasuah, malahan merupakan satu konsep yang lebih luas sebagai contoh pembudayaan kerja berintegriti seperti dalam ketepatan waktu, penyampaian maklumat, memberi perkhidmatan, serta perhubungan dengan ketua jabatan, rakan sekerja, masyarakat dan kakitangan sokongan. Sekiranya perbuatan tidak beretika dan tidak berintegriti tidak dibendung secara berterusan tanpa usaha pelbagai pihak untuk mengatasinya, maka ia mampu menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada sesebuah organisasi, merosakkan imej pekerja dalam negara, serta boleh melumpuhkan sebuah badan korporat.

Oleh itu, etika dan integriti dalam kalangan penjawat awam amat penting untuk diterapkan demi membina sebuah bangsa Malaysia yang berdaya saing dan maju. Selain itu, pengurusan integriti haruslah disepadukan dan disemai dengan nilai murni dalam kalangan individu dan organisasi supaya dapat diamalkan dalam kehidupan dan menerusi amalan kerja bagi memperoleh kecemerlangan dan kecekapan, serta dipercayai dan dihormati oleh orang lain. Perkara penting dalam membudayakan integriti ialah pengawalan diri individu menerusi soal keimanan, kemantapan rohani, dan kekuatan jiwa sewaktu menempuhi cubaan-cubaan yang tidak mengamalkan tatasusila yang baik tidak melihat kepada kepentingan umum.

en_GBEN
Verified by MonsterInsights