Mari kita sama-sama melihat sejauh manakah tahap profesionalisma kita dalam menjalankan pekerjaan seharian kita. Menyebutnya mudah tapi realitinya berbeza.
Pekerja yang mempunyai prestasi kerja cemerlang akan sentiasa menjadi buruan organisasi. Organisasi mahu menggunakan pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kecekapan dan nilai positif yang dimiliki serta kepakaran yang ada pada pekerja sebegini agar kualiti perkhidmatan yang ditawarkan berada pada tahap cemerlang. Pekerja yang cemerlang menyumbang kepada peningkatan kualiti dan kuantiti perkhidmatan yang baik. Kategori pekerja sebegini akan menyumbang kepada kewujudan organisasi yang akan dapat bersaing secara kompetetif. Pekerja yang memiliki semua aspek positif yang dikehendaki oleh organisasi sudah pasti akan dapat menyumbang hasil pekerjaan yang berkualiti dan menjamin kepada pencapaian visi organisasi.
Sebagai aset kepada organisasi, pekerja boleh menentukan masa depan sesebuah organisasi sama ada ke arah kemunduran atau kejayaan. Imej organisasi akan berada pada tahap yang tinggi apabila pekerja menyumbang secara produktif kepada pencapaian visi organisasi. Kecemerlangan memerlukan pengorbanan, dedikasi, kesungguhan, kesabaran, iltizam, kepemimpinan dan pelbagai lagi sikap dan sahsiah positif. Islam mengatur dan memberi kerangka asas seseorang itu mencapai kecemerlangan mengikut landasannya tersendiri.
10 Kriteria Menjadi Pekerja Yang Profesional
Jika anda mempunyai dan menepati 8 kriteria ini, tidak syak lagi anda seorang pekerja yang profesional !. Jika masih belum, mari kita bersama-sama amalkan dan mengaplikasikannya. Paling penting sesiapa sahaja boleh menjadi pekerja profesional, namun ianya mampu dicapai dengan keazaman dan semangat yang boleh merubah diri kita untuk menjadi pekerja yang baik .
1. Cemerlang
Para pekerja profesional akan melakukan tugas dengan cemerlang. Seorang pekerja yang profesional boleh melakukan apa sahaja tugasan / kerja yang diberikan. Tidak pernah kata ’tidak’ dan mengalah sebelum memulakan tugasan yang diberikan .
2. Berinisiatif
Pekerja profesional bijak mencari peluang. Mereka tidak perlu diarah dan dipaksa untuk melakukan tugasan. Mereka juga tidak perlu dipantau dan bijak mencari peluang menyelesaikan kerja.
3. Komited terhadap kerjaya
Kunci kejayaan seseorang individu ialah komited terhadap kerjaya yang diceburinya. Komited dimaksudkan di sini ialah menumpukan perhatian dan bersungguh-sungguh terhadap apa dilakukan.
4. Niat Positif
Pekerja yang positif bekerja dengan niat positif. Mereka tidak terlalu memikirkan pangkat, imbuhan dan kedudukan dalam menyelesaikan tugasan. Dengan niat yang positif, kejayaan dan kedudukan akan datang dengan sendirinya bagi mereka yang benar-benar profesional.
5. Bertanggungjawab
Pekerja yang profesional adalah seorang sangat bertanggung jawab terhadap tugasan mereka. Apabila berurusan dengan pelanggan, kehendak dan keperluan pelanggan melebihi kehendak mereka sendiri.
6. Cekap Menguruskan Masa
Istilah ’ tidak sempat ’, ’ tidak cukup masa ’ dan ’lewat’ tiada dalam kamus hidup pekerja profesional kerana mereka cekap untuk menguruskan masa untuk menyelesaikan tugasan.
7. Jujur dan Amanah
Para pekerja profesional menjalankan tugas dan kerja mereka dengan jujur dan amanah. Mereka tidak suka untuk ’ curi tulang ’ dan menipu ketika bekerja.
8. Bermoral dan Bertatasusila
Pekerja ini memiliki moral yang baik dan bertatasusila. Mereka bijak berurusan dengan majikan, orang awam, masyarakat dan sesiapa sahaja dengan bersikap sopan dan mesra. Mereka juga bijak mengawal kemarahan dan tidak akan melenting dengan tiba-tiba. Mereka juga akan sentiasa bersabar dengan karenah orang sekeliling.
9. Insaf Dan Sedar Diri
Mereka sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan sentiasa sedar diri dan peka dengan nasib orang lain. Mereka tidak mementingkan diri sendiri dan tidak mudah lupa diri apabila diulit dengan kemewahan. Sentiasa bangkit untuk memperbaiki kelemahan diri sendiri.
10. Sentiasa Bersyukur
Sikap bersyukur atas kejayaan dan keuntungan diperoleh hasil sesuatu pekerjaan. Harus diingat bahawa keuntungan diperoleh adalah nikmat kurniaan Allah. Jangan iri hati dengan kejayaan orang lain dan bersyukur dengan apa yang telah kita capai. Namun, berazam dan berusaha untuk meningkatkan lagi usaha dan kualiti kerja.
Demikian tadi 10 kriteria untuk menjadi pekerja/ kakitangan yang profesional yang mungkin menepati diri anda. Jika tepat, tahniah ! , anda memang pekerja yang profesional.
Jika tidak menepati atau kurang menepati kriteria-kriteria diatas, bukan bermakna anda merupakan pekerja yang tidak baik, ruang dan peluang untuk berubah sentiasa terbuka luas, terserah dan terpulang kepada individu untuk berjaya atau tertinggal.
Setiap daripada kita, harus selalu menilai diri, menghitung kebaikan dan keburukan yang dilakukan sepanjang kehidupan yang dilalui. Muhasabah ini tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kepada bangsa dan negara melainkan seorang itu menyedari bahawa dia ada peranan dan kewajipan sebagai anggota masyarakat.