Culas, ponteng, gagal hadir bertugas atau missing in action (MIA) dikatakan antara kesalahan paling sinonim dikaitkan dengan penjawat awam. Tambahan pula, ada dalam kalangan penjawat awam menganggap kegagalan hadir bertugas sebagai perbuatan normal, asalkan kerja hakiki disiapkan.
Namun, ponteng tugas adalah antara faktor popular penjawat awam yang dikenakan tindakan tatatertib termasuk digantung daripada perkhidmatan awam seperti dijelaskan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman.
Pada tahun lalu beliau mendedahkan seramai 14 penjawat awam digantung kerja, manakala 28 dikenakan hukuman tahanan kerja atas faktor kegagalan hadir bertugas berhari-hari, berbulan-bulan malahan ada juga kes ketidakhadiran tanpa kebenaran dan tidak diketahui keberadaan mereka.
Peratusan tindakan tatatertib dikenakan ke atas penjawat awam ini menunjukkan kesalahan berkaitan masalah kehadiran atau ‘ghaib’ dilihat seperti menjadi normalisasi dalam sektor awam. Missing in action dilabel kepada pegawai tidak diketahui di mana mereka berada dalam tempoh lama pada hari atau waktu bekerja tanpa kebenaran pegawai atasan.
Hakikatnya, isu penjawat awam ponteng kerja ini tidak boleh dianggap remeh, walaupun sesetengah penjawat awam beranggapan apa yang penting segala kerja sudah dibereskan.
Jejas mutu perkhidmatan
Perlakuan sebegini menunjukkan sikap pegawai ‘culas’ menjalankan tugas, tidak ikhlas bekerja, ‘mencuri tulang’, melepaskan tugas sepatutnya dilaksanakan, tidak bersungguh-sungguh melakukan tugas sehingga akhirnya menjejaskan mutu perkhidmatan awam ke tahap sangat rendah.
Perlu disedari, ponteng kerja boleh dikaitkan dengan kesalahan ‘mencuri’, iaitu mencuri waktu bekerja, mencuri masa rakan sekerja lain kerana terpaksa melunaskan kerja ditinggalkan pegawai MIA, merugikan organisasi dan mencalarkan imej jabatan.
Bagi penjawat awam beragama Islam, MIA amat dilarang seperti dijelaskan ayat ke-27 Surah al-Anfal bermaksud: “Wahai orang beriman. Jangan kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah (pekerjaan) kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
Amat jelas ajaran Islam melarang umatnya mengkhianati amanah dan tanggungjawab. Hal ini mempunyai kaitan dengan rezeki diperoleh daripada hasil gaji atau pendapatan bulanan dibayar sama ada ia padan dengan tugas serta kerja dilakukan atau tidak.
Walau apa pun kesannya, perbuatan ini patut dibendung, dikawal dan dikenakan hukuman atau tindakan tatatertib sewajarnya kerana ia menyentuh aspek amanah, ikhlas dan integriti ketika menjalankan tugas.
Setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu memperkasakan aspek kawalan dan penguatkuasaan untuk menangani isu ketidakhadiran penjawat awam.
Bayangkan berapa jumlah masa disalahgunakan jika penjawat awam mencuri masa setiap hari untuk urusan peribadi atau bukan melakukan urusan kerja. Ini belum lagi mengambil kira kerugian dari sudut produktiviti dan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Jika tidak bermula sekarang, bila lagi penjawat awam mahu memperbaiki budaya kerja negatif ini.
Nota: Berikut adalah rajah kategori tidak hadir bertugas untuk rujukan.
SUMBER:
- Noraini Sapuan, 1 Jun 2023
bhrencana@bh.com.my - Buku Panduan Mengurus dan Melaporkan Tindakan Tatatertib Kementerian Kesihatan Malaysia, Unit Integriti