JOHOR BAHRU: Polis melancarkan gerakan memburu individu yang
menyebarluaskan senarai nama 12 pegawai penguat kuasa yang ditahan
kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan jenayah “Geng Nicky”.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata langkah itu
susulan pihaknya telah mengesan maklumat sulit itu disebarkan melalui
aplikasi WhatsApp.
“Tindakan menyebarkan maklumat ini boleh diambil mengikut Seksyen
203A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak
lebih RM1 juta atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
“Ini bagi mengenal pasti punca kebocoran maklumat berkenaan,” katanya
dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak
menyebarkan maklumat tersebut kerana perbuatan sedemikian boleh
mengakibatkan mereka diambil tindakan mengikut seksyen berkenaan.
Dalam sidang media tengah hari tadi, Ayob Khan berkata seramai 10
pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua pegawai Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan dalam Ops Pelican 3.0
Fasa 2 yang dijalankan Polis Kontinjen Johor sejak 21 April sehingga hari
ini.
Operasi itu, katanya, dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka
dan Negeri Sembilan dengan mereka yang ditahan berusia antara 36
hingga 49 tahun.
Sumber : astroawani.com (28 April 2021)