Mendapat pekerjaan adalah satu rahmat Allah SWT. Setiap tugas mestilah dilaksanakan
dengan sempurna dan penuh kejujuran kerana tugas adalah amanah. Amanah wajib
ditunaikan dengan jujur.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis
amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum
di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” (Surah al-Nisa’, ayat
58).
Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap setiap kalian adalah
bertanggungjawab di atas orang yang dipimpinnya.” (Riwayat Bukhari)
Bermakna kita tidak lepas daripada tanggungjawab ke atas setiap apa yang kita lakukan.
Semuanya akan disoal berkenaannya di akhirat nanti di hadapan Allah SWT. Antara perkara
yang akan disoal nanti ialah berkaitan dengan masa dan amanah dalam bekerja. Pekerja yang
terbaik adalah pekerja yang melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah.
Allah SWT berfirman: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai
ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya
sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.“ (Surah al
Qasas, ayat 26)
Ini adalah dua asas yang mantap yang disebutkan Allah SWT secara terang dalam al-Quran
dalam memilih pekerja. Menguruskan masa dengan baik dan memanfaatkannya sebaik
mungkin adalah bukti kejujuran kita dalam menjalankan tugas. Pengurusan masa yang baik
melambangkan kebijaksanaan. Manakala kejujuran pula melambangkan peribadi yang
cemerlang.
Islam mengajar umat-Nya agar sentiasa berusaha mengamalkan budaya kerja yang cemerlang
dengan bertunjangkan iman dan akhlak. Bagi yang menyedari hakikat ini, mereka akan
sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan produktiviti pada setiap masa tanpa rasa jemu.
Mereka sedar bahawa bekerja itu merupakan amanah Allah SWT.
Berapa ramai di antara kita (pekerja) yang sedar tentang perkara ini. Berapa ramai komuniti
pekerja yang memandang remeh mengenai kerja, bekerja dengan sambil lewa, curi tulang,
menggunakan peralatan pejabat untuk kepentingan peribadi, solat pada waktu kerja
sedangkan masa yang diperuntukkan untuk solat diisi dengan berbual kosong.
Makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah
kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika
benar kamu hanya menyembah Allah semata-mata. (Surat An-Nahl, ayat 70)
Justeru, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan istiqamah pada niat seawal melangkah keluar dari rumah bahawa semua kerja yang dilaksanakan kerana Allah SWT. Mudah mudahan setiap pergerakan dari mula hingga pulang ke rumah dikira sebagai ibadah dan rezeki yang diterima penuh dengan keberkatan.
Sumber : upm.edu.my
mkn.gov.my