Apabila berbicara mengenai rasuah di Malaysia, fokus utama sering kali terarah kepada menteri, pegawai kerajaan dan pihak berkuasa mempunyai kuasa kelulusan atau penguatkuasaan.
Perhatian yang lebih dalam isu rasuah kepada sektor awam ini agak berasas, memandangkan banyak laporan media memaparkan kes rasuah membabitkan golongan ini.
Oleh kerana majoriti jawatan dalam sektor awam dipegang kaum Melayu dan Bumiputera, ia turut mencipta persepsi awam kononnya kaum Melayu ‘pemakan rasuah’ utama dan kurang integriti berbanding kaum lain.
Persepsi ini menimbulkan rasa kecewa dan tidak adil, terutama kepada masyarakat Melayu. Hakikatnya, tumpuan sering diberikan kepada rasuah dalam sektor awam dan dikaitkan dengan kaum Melayu, sedangkan rasuah turut bergelumang dalam sektor swasta. Sebaliknya, ada negeri masih bergelut menangani isu rasuah dalam sektor swasta terutama dalam industri pembalakan dan kegiatan berkaitan sumber asli.
Ada juga rasuah bersarang dalam konflik berkaitan tanah adat walaupun sebuah ombudsman ditubuhkan untuk tujuan ini. Malangnya, ombudsman ini lebih menumpukan perhatian kepada sektor awam sahaja dan gagal memantau rasuah dalam sektor swasta.
Perlu disedari, antara aspek penting Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) adalah Seksyen 25 iaitu kewajipan melaporkan transaksi rasuah.
Gagal patuhi kewajipan
Malangnya, ramai pegawai awam gagal mematuhi kewajipan ini. Sekiranya laporan dibuat dengan lebih konsisten, penerima rasuah dapat dikenal pasti dan diambil tindakan.
Kurangnya penguatkuasaan Seksyen 25 ini membolehkan perbuatan menekan atau menyusahkan orang dengan kuasa dipegang untuk mendapatkan rasuah terus berleluasa.
Pada 2018, Akta SPRM 2009 dipinda untuk memasukkan Liabiliti Korporat, memberi SPRM senjata baharu memerangi rasuah dalam organisasi komersial atau swasta.
Seksyen 17A (Pindaan 2018) ini mula berkuatkuasa pada 1 Jun 2020, namun dalam tempoh empat tahun selepas diwartakan, tidak banyak liputan media mengenai kes rasuah dalam sektor swasta berjaya ditumpaskan.
Di sini, dapat dilihat cabaran utama dalam memerangi rasuah adalah sikap dan mentaliti masyarakat. Banyak pihak lebih cenderung menyalahkan orang lain atau menunggu pihak berkuasa mengambil tindakan tanpa menyedari setiap individu mempunyai peranan dalam membanteras rasuah.
Sikap pasif ini menyukarkan usaha SPRM dan agensi lain mempunyai kuasa memerangi rasuah. Tanpa maklumat dan keterangan mencukupi, usaha memerangi rasuah menjadi sukar.
Rasuah dalam sektor perbankan juga tidak boleh dipandang ringan. Pegawai bank mempunyai kuasa meluluskan pinjaman sering berada dalam kedudukan membolehkan mereka menekan pemohon pinjaman memberi rasuah.
Walaupun kes sebegini kurang mendapat liputan media, ia tetap berlaku dan memberi impak besar kepada ekonomi dan masyarakat. Bagi memerangi rasuah dengan lebih berkesan, sokongan komuniti amat penting.
Promosi dan kempen dilaksanakan agensi serta pertubuhan bebas dalam usaha pencegahan rasuah perlu disokong setiap lapisan masyarakat.
Rasuah di Malaysia adalah isu membabitkan pelbagai sektor dan kaum. Persepsi kononnya hanya kaum Melayu terbabit rasuah adalah tidak adil dan tepat. Sektor swasta juga mempunyai isu rasuah yang besar, walaupun kurang mendapat perhatian.
Untuk membanteras rasuah dengan berkesan, setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing, melaporkan kes rasuah, dan menyokong usaha SPRM dan agensi lain.
Dalam menghadapi cabaran ini, adalah penting untuk kita terus berjuang dan tidak berputus asa. Cegah rasuah demi masa depan lebih cerah dan bersih untuk Malaysia yang mencapai kemerdekaan ke-67.
Sumber: Jais Abdul Karim, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), 30 Jul 2024,
Kolumnis@SPRM