Allah SWT mensyariatkan Ramadhan bukan sekadar untuk umat Islam menyempurnakan ibadah puasa, tetapi manusia perlu memahami bahawa Ramadhan dihadirkan sebagai anugerah atau hadiah kepada mereka untuk melakukan transformasi diri dan hati agar dapat memenuhi tanggungjawab penting sebagai khlaifah di muka bumi ini .

Berakhirnya Ramadhan bukan pula hanya semata-mata menandakan bermula bulan Syawal yang lazimnya disambut dengan penuh meriah oleh seluruh umat islam. Syawal yang juga sering disebut sebagai bulan kemenangan merupakan menifestasi perjuangan diri insan menundukkan hawa nafsu, memenuhi tuntutan-tuntutan ibadah serta perjuangan memperolehi keampunan dan mendapat rahmat daripada Allah SWT .

Sambutan Aidilfitri ini wajar dijadikan peluang oleh warga kerja PKPS untuk mempraktikkan nilai-nilai integriti dengan kesederhanaan dan rasa syukur dalam usaha memerangi dan menghentikan jenayah rasuah. Beban perbelanjaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri harus diurus dengan bijak dan sederhana. Pada ketika ini, warga kerja PKPS juga harus sentiasa beringat kepada golongan yang memerlukan dengan berkongsi rezeki seadanya dengan mereka. Kesederhanaan berupaya untuk memupuk tanggung jawab sosial dan nilai kewarganegaraan yang tinggi di kalangan masyarakat.

Sentiasa memerangi sikap tamak, suka menunjuk-nunjuk, membazir dan boros yang akhirnya akan menyebabkan seseorang individu boleh terperangkap dengan hasutan rasuah. Sehubungan dengan itu seluruh warga PKPS hendaklah menutup serapatnya pintu rasuah dengan menanamkan sifar bersederhana, sentiasa bersyukur, prihatin dan tidak mementingkan diri sendiri. Hanya dengan karakter tegas dan iman yang kukuh mampu menjadi benteng jiwa yang kukuh agar tidak terjerumus dalam perangkap rasuah yang tidak bermaruah .

Justeru itu , dalam beberapa hari sahaja lagi , umat islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dalam mengingati kejayaan ibadat puasa dan perayaan yang akan disambut di atas kejayaan itu . Satu perkara yang perlu dihubungkan dengan perayaan ini ialah bagaimana konsep integriti Islam global dapat diamalkan dengan baik ketika menjalani ibadat puasa. Oleh yang demikian, dalam konteks ini eloklah warga kerja PKPS untuk memahami konsep integriti  yang direalisasikan matlamatnya dengan ungkapan seperti berikut :

i.            Melakukan perkara yang betul , walaupun tidak ada orang yang menyaksikannya.

ii.           Berani menegaskan ’ya’ atau ’tidak’ pada ketika menegakkan perkara yang benar.

iii.          Bercakap benar terhadap perkara yang sememangnya diketahui.

Fakta dan pandangan yang disebutkan di atas adalah nilai integriti universal dan merupakan satu nilai persamaan di antara manusia yang berperadaban tanpa mengira agama, budaya dan bangsa. Oleh itu , umat islam yang akan menyambut Hari Raya setelah mengerjakan ibadat puasa hendaklah melakukan amalan yang menegakkan identiti umat yang berintegriti dalam kehidupan dunia dan akhirat kerana telah mengamalkan ibadat puasa dengan penuh ikhlas dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Semoga Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut itu benar-benar merayakan kemenangan umat islam dalam mengamalkan nilai dan budaya yang baik mengikut prinsip integriti yang tinggi seperti wahyu daripada Allah SWT.

en_GBEN
Verified by MonsterInsights