‘Buaya ekonomi’ ambil kesempatan sebabkan ramai golongan patut terima manfaat terpinggir

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan sekurang-kurangnya empat kelemahan dalam proses penyaluran dana bernilai jutaan hingga berbilion ringgit, yang akhirnya membuka ruang kepada penyelewengan. Penyelewengan dikesan SPRM membabitkan kelompok yang digelar sebagai ‘buaya ekonomi’

terpinggir dan ekonomi juga tidak dapat berkembang seperti dijangka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata kerajaan menyediakan pelbagai dana seperti melalui Pelan Jana Semua Ekonomi (PENJANA), Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) serta Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia (MARII) yang semuanya bertujuan membantu rakyat terkesan akibat tekanan ekonomi sepanjang pandemik COVID-19. Namun, katanya, golongan ‘buaya ekonomi’ mengambil kesempatan secara terang-terangan, dengan membuat tuntutan palsu bagi memperoleh dana yang disediakan kerajaan untuk kekayaan sendiri.

“Nilai integriti pula dilihat semakin pudar dalam kalangan segelintir syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk membantu kerajaan menerusi penyaluran dana atau bantuan kerajaan kepada golongan yang memerlukan. “Akhirnya yang menerima impak adalah golongan pekerja apabila ramai yang dibuang, mahasiswa menganggur serta peniaga terpaksa menutup perniagaan,” katanya.

Semak ketulenan maklumat

Mengulas empat kelemahan dikenal pasti SPRM, Ahmad Khusairi berkata, paling utama adalah proses semakan terhadap ketulenan maklumat yang dikemukakan pemohon sama ada mereka membabitkan individu, syarikat atau pertubuhan. Akibat kelemahan ini, beliau berkata membuka ruang kepada manipulasi kerana terdapat beberapa syarikat yang dimiliki orang sama membuat tuntutan. Kelemahan kedua pula, katanya adalah penggunaan alasan darurat atau kecemasan untuk tidak membuat ‘due diligence’ (semakan kewajaran) terhadap pemohon. “Dalam isu darurat ini, dikatakan jika terlalu tegar akan dijadikan alasan kerenah birokrasi,” katanya.

Tambahnya lagi, kelemahan ketiga dikesan apabila tiada mekanisme jelas untuk memantau program atau aktiviti yang sedang dijalankan untuk memastikan ia benar-benar dilaksanakan dengan jumlah peserta yang tepat. “Agensi pula hanya bergantung kepada laporan program atau aktiviti yang dikemukakan pemohon sahaja. “Akhir sekali, tiadanya peraturan dan undang-undang jelas untuk diambil tindakan terhadap pemohon seperti senarai hitam, saman sivil dan tuntutan semula dana yang tidak dibelanjakan,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata, hasil kerjasama antara SPRM dan agensi serta kementerian terbabit, seramai 133 individu terdiri pemilik dan pengarah syarikat ditahan dalam operasi khas tahun lalu. Selain itu, katanya, lebih 100 syarikat disiasat membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM194 juta dengan 34 pemilik satau pengarah syarikat didakwa di mahkamah. “Pada 2023 pula, SPRM akan memberikan tumpuan terhadap isu ketirisan dan penyelewengan dana dalam sektor sumber manusia, kebajikan, automotif dan pengajian tinggi, penternakan, pertanian serta perladangan,” katanya. Nilai integriti pula dilihat semakin pudar dalam kalangan segelintir syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk membantu kerajaan menerusi penyaluran dana atau bantuan kerajaan kepada golongan yang memerlukan.

Sumber: Ilah Hafiz Aziz,  Berita Harian, 27 Januari 2023

en_GBEN
Verified by MonsterInsights