Nabi Muhammad sebagai Manusia Bermoral (Moral Person). Nabi Muhammad SAW merupakan seorang manusia yang sempurna ciri akhlaknya. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya (al-Ahzab 33: 21; al-Qalam 4: 1546) yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat sangat mulia.”


Berdasarkan firman Allah SWT di atas, dirumuskan Nabi Muhammad SAW penuh dengan sifat diri yang baik dan terpuji. Antara contoh akhlak baginda yang mulia ialah meliputi integriti, kejujuran dan amanah. Sifat jujur dan integriti sebati dalam diri baginda dan diakui ramai sehingga diberi gelaran Al Amin.


Walau bagaimanapun, akhlak terpuji baginda tidak pula terhad kepada apa yang dinyatakan, sebaliknya meliputi sifat pekerti yang baik dan luhur sesuai dengan taraf baginda sebagai ‘penyempurna akhlak manusia’.


Hal yang demikian ditegaskan dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Baihaqi dalam kitab al-Sunan al-Kubra dan disebut dalam ‘Aidh (2010: 30):


“Sebenarnya tujuanku diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
Justeru Nabi Muhammad adalah satu rahmat Allah kepada manusia meliputi konteks penyempurnaan akhlak dan sahsiah.

Sumber: Petikan daripada Suraiya Ishak, Model Kepemimpinan Etika Berlandas Sirah Nabi Muhammad SAW, Jurnal Hadhari 3 (2) (2011) 23 – 44

en_GBEN
Verified by MonsterInsights