Artikel 3-10 AZAM TAHUN BAHARU UNTUK BERJAYA DALAM KERJAYA

No. Artikel: 1

Ramai yang berazam untuk memperbaiki diri dalam beberapa aspek pada tahun baharu. Antaranya ialah ingin menurunkan berat badan, menyimpan lebih banyak wang atau mahu menamatkan pelajaran dengan keputusan yang cemerlang. Kesemua azam yang disebutkan di atas tidak salah, tetapi apa kata anda cuba wujudkan azam tahun baru dalam aspek kerja pula. Dalam pekerjaan juga perlukan kemajuan, bukan?

Setiap penambahbaikan perlu dilakukan secara berperingkat, mulakan dengan yang lebih mudah untuk dicapai sehingga kemajuan lebih besar. Namun, penetapan matlamat baharu untuk kerjaya merupakan satu proses yang agak kompleks dan memerlukan perancangan lebih teliti. Berikut ialah 10 azam baharu dalam aspek kerjaya buat panduan anda seperti yang dikongsikan di Forbes.

  • Datang lebih awal ke pejabat

Ciri utama individu yang beretika dan profesional dalam bekerja ialah menepati masa. Individu yang jarang menepati masa sering mempunyai naratif yang negatif serta dianggap sebagai kurang berprofesional.   Justeru, jadikan menepati masa sebagai azam utama dalam aspek kerjaya untuk menjadi individu yang lebih baik.

  • Jadi orang yang lebih teratur

Menjadi lebih teratur membolehkan anda menjadi efisien, produktif dan fokus dalam melakukan tugasan. Mulakan dengan menyusun setiap dokumen di dalam fail yang betul dan kemaskini senarai tugasan yang perlu diselesaikan. Anda bukan sahaja akan menjadi lebih teratur, tetapi masa dan tenaga juga dapat dijimatkan kerana tidak perlu lagi menggeledah seluruh pejabat atau komputer untuk mencari dokumen yang diperlukan. Tiba sahaja di pejabat, rancang terlebih dahulu tugasan yang perlu dilakukan dalam sehari dan selesaikan satu per satu. Pasti hari anda akan menjadi lebih teratur dan kurang tertekan.

  • Luaskan rangkaian

Ringankan mulut untuk berkenalan dengan individu lain dalam industri. Siapa tahu, dalam 10 orang yang kita baharu sahaja berkenalan mungkin membuka pintu kepada tawaran pekerjaan yang lebih baik.

  • Sertai program sukarelawan

Mungkin kaedah ini tidak sesuai bagi semua jenis pekerjaan, tetapi sekiranya anda berpeluang, bantu masyarakat dengan kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki.  Sebagai contoh, jika anda bekerja dalam sektor pendidikan, terdapat banyak program yang menawarkan pendidikan percuma kepada anak-anak yang tidak mempunyai akses untuk menimba ilmu. Anda akan berasa lebih berguna kerana dapat berbakti kepada masyarakat dan membantu golongan yang kurang bernasib baik. Cara ini juga membantu anda meluaskan rangkaian. Sekiranya bernasib baik, mungkin ada pihak yang ingin menaja program anda.

  • Minta maklum balas daripada majikan

Apabila anda telah menyelesaikan projek atau tugasan, cuba dapatkan 15 minit masa majikan dan dapatkan maklum balas daripada mereka. Melalui maklum balas yang diberikan, anda boleh tahu apa yang perlu ditambah baik untuk meningkatkan prestasi bekerja. Melalui cara ini, majikan akan melihat pekerjanya sebagai seorang yang komited ketika menyelesaikan tugasan dan berfikiran terbuka dalam menerima teguran serta mahu memperbaiki diri sendiri.

  • Belajar dan tingkatkan kemahiran baharu

Jika anda kekok menggunakan perisian seperti Microsoft Word dan Excel atau Adobe Photoshop, isi masa lapang dengan mempelajari dan meningkatkan kemahiran untuk menggunakan perisian tersebut. Salah satu cara untuk menonjolkan diri anda berbanding rakan sekerja lain ialah dengan sentiasa mengikuti kemahiran dan teknologi terkini yang berkaitan dengan bidang kerja. Setiap industri berkembang dengan cepat, jadi anda perlu mengikuti perkembangan untuk kekal relevan dan diperlukan dalam industri.

  • Banyakkan membaca

Anda dinasihatkan untuk tahu akan perkembangan semasa dalam industri. Baca berita atau buku-buku berkaitan industri pekerjaan. Selain itu, dengar pendapat daripada pakar dalam industri juga. Melalui cara ini, anda akan lebih cakna dengan isu-isu semasa dalam industri. Sebagai contoh, sekiranya industri pekerjaan anda tidak berkembang, masih ada ruang untuk menukar industri pekerjaan atau cari pekerjaan sandaran.

  • Jangan berdendam

Sekiranya berlaku apa sahaja isu antara rakan sekerja, elakkan berdendam dengan mereka. Hal ini kerana sekiranya menyimpan dendam, ia akan menimbulkan isu politik dalaman dan membuatkan persekitaran bekerja yang negatif. Seeloknya, jangan berdendam. Sekiranya ia tidak berkaitan dengan urusan kerja, biarkan sahaja ia berlalu. Anda hanya perlu fokus pada tugasan yang diberikan dan lakukan kerja dengan cemerlang.

  • Cari kaedah yang boleh bantu kurangkan tekanan

Apabila anda kecewa atau tertekan tentang kerja, cuba cari perkara atau aktiviti yang boleh mengurangkan tekanan. Cuba lakukan regangan badan, berjalan-jalan, bersenam atau membaca. Anda juga boleh menceburi hobi baharu seperti bermain alat muzik atau melukis. Merujuk kepada kajian bertajuk Reduction of Cortisol Levels and Participants’ Responses Following Art Making, melakukan aktiviti yang melibatkan kreativiti boleh mengurangkan tekanan. 

  • Pantau perkembangan kerjaya

Pemantauan perkembangan kerjaya penting kerana kita semua mahukan kemajuan dalam kerjaya. Jadi, tetapkan matlamat yang boleh dicapai dalam masa sekurang-kurangnya sebulan seperti meningkatkan jumlah jualan, dapatkan klien yang lebih besar dan sebagainya. Bukan sahaja anda akan mencapai tahap tertinggi dalam hierarki keperluan Maslow iaitu keperluan sempurna kendiri, tetapi majikan juga akan sedar kemajuan anda. Ini juga boleh menjadi peluang untuk anda dinaikkan pangkat.

Semoga apa sahaja yang anda tetapkan dalam azam tahun baharu dapat dicapai dengan jayanya.

Sumber: Umi Fatehah, 19 Disember 2022, Relevan.com.my

Scroll to Top