Pada 9 Disember, masyarakat dunia menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA). Ia
disambut pada setiap tahun sejak 2003 apabila Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) menetapkan 9 Disember sebagai hari bagi menyedarkan masyarakat dunia tentang
rasuah dan kesan buruknya.
Ironinya bila bercakap tentang masalah rasuah kita perlu tahu hak dan peranan kita. Misalnya kita
berhak menikmati kehidupan yang bebas rasuah atau berintegriti dan untuk itu kita perlu
memainkan peranan yang sewajarnya.
Hakikatnya masalah rasuah di negara kita cukup serius dan semakin membimbangkan. Rasuah
boleh dikatakan sudah bertapak dalam hampir semua sektor ekonomi, sosial dan perkhidmatan
di negara kita termasuklah dalam soal pengurusan jenazah. Apa yang membezakannya hanyalah
sejauhmana ia terbongkar dan didedahkan serta jumlah kerugian yang terlibat.
Jangan hanya menuding jari kepada agensi kerajaan mahupun penjawat awam semata-mata,
sebaliknya rasuah juga semakin berleluasa dalam sektor swasta dan dunia korporat.
Transparency International Malaysia pernah melaporkan negara kerugian lebih kurang RM40
bilion hingga RM50 bilion akibat aktiviti rasuah di mana impak rasuah kepada pertumbuhan
ekonomi ternyata suatu realiti yang pahit untuk ditelan.
Laporan daripada Global Financial Integrity yang dikeluarkan pada 2017 pula menyatakan
Malaysia kehilangan RM1.8 trilion menerusi aliran kewangan tidak sah antara 2005 hingga 2014
apabila sebahagian daripadanya berpunca daripada amalan rasuah.
Ini satu bentuk pengkhianatan, jenayah terancang dan kezaliman yang nyata terhadap rakyat dan
negara. Jujurnya, rakyat berhak menikmati kehidupan yang lebih baik dan sejahtera jika semua
wang yang diseleweng ini dapat digunakan dan dimanfaatkan untuk pembangunan rakyat dan
negara.
Tindakan sebahagian besar daripada kita yang selama ini yang tidak mengambil peduli dan
membiarkan pengkhianat merompak ekonomi rakyat dan negara cukup merugikan dan mula
memberi kesan yang besar kepada kehidupan kita.
Kita perlu mendidik diri dan anggota masyarakat lain untuk menjunjung nilai-nilai murni serta
sentiasa berpaksikan kepada amalan integriti yang tinggi.
Vaksin terbaik untuk virus ini adalah rakyat perlu tegas dan berani untuk melaporkan semua jenis
salah laku yang berlaku di depan mata demi melindungi hak semua pihak.
Dalam hal ini, kita boleh berpaut kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711)
yang menggalakkan pendedahan maklumat mengenai sebarang jenayah rasuah atau salah laku
lain. Akta ini akan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan
memudaratkan akibat daripada pendedahan yang telah dibuat.
Tuntasnya, katakan tidak kepada rasuah dengan cara menunaikan hak dan peranan kita dalam
membendung musuh nombor satu negara ini .
Sumber : sprm.gov.my