September 10, 2024
Selasa


KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan sebuah kementerian bergelar Datuk bersama
pegawai khas dan pemandunya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan berjumlah kira-kira RM400,000 semalam.


Sumber berkata, ketiga-tiga mereka ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat
SPRM Putrajaya.


Sumber berkata, suspek bergelar Datuk berusia lingkungan 50-an itu adalah Setiausaha
Bahagian yang bertanggungjawab mengawal selia sebuah daripada agensi badan berkanun
kerajaan
.


“Dua yang lain adalah pegawai khas dan pemandu beliau dan semua ditahan ketika hadir bagi
memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.


“Suspek utama dipercayai melakukan perbuatan itu baru-baru ini dengan mengemukakan
kertas cadangan program untuk kelulusan peruntukan dan kemudiannya disalurkan kepada
sebuah agensi kerajaan
berkaitan,” katanya.


Sumber berkata, suspek turut disyaki berpakat dengan orang dalam agensi kerajaan terbabit
dan mengeluarkan wang peruntukan berkenaan secara tunai yang bernilai ratusan ribu ringgit
dan kemudian digunakan untuk keperluan peribadi.


Berikutan itu, katanya, suspek utama dan seorang lagi ditahan untuk siasatan lanjut serta
direman hari ini, manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.


“Suspek bergelar Datuk direman empat hari sehingga Jumaat ini, manakala seorang lagi
suspek lelaki berusia lingkungan 30-an direman dua hari sehingga esok.


“Seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga penjawat awam dibebaskan
dengan jaminan,” katanya.


Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat
SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.


Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan
tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.


Sumber : bharian.com.my

ms_MYMY
Verified by MonsterInsights