‘Liabiliti korporat’ merujuk kepada Seksyen 17A Akta SPRM 2009 – kesalahan oleh organisasi komersial. Peruntukan ini mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2020.
Berdasarkan peruntukan ini, organisasi komersial boleh didakwa dan dihukum sekiranya membenarkan pegawai/kakitangan mereka melakukan rasuah untuk memperoleh sesuatu projek atau mendapat apa-apa faedah bagi organisasi komersial itu.
Seksyen 17A Akta SPRM meletakkan beban pencegahan rasuah ke atas organisasi komersial dan pengurusannya. Kegagalan untuk mencegah rasuah boleh didakwa dan dihukum di bawah peruntukan ini.

Bagaimana Kesalahan Di Bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 Ini Boleh Berlaku?

Pertama sekali, kesalahan ini hanya melibatkan perbuatan menawar, menjanjikan atau memberi suapan.
Kesalahan berlaku apabila:
• seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial
• memberikan / bersetuju untuk memberikan / menjanjikan / menawarkan suapan (rasuah).
• Rasuah bertujuan:

  1. untuk memperoleh atau mengekalkan perniagaan bagi organisasi komersial itu; atau
  2. untuk memperoleh atau mengekalkan faedah dalam menjalankan perniagaan bagi organisasi komersial itu.

Saya Kurang Jelas, Boleh Berikan Contoh Bagaimana Kesalahan Ini Boleh Berlaku?

Ilustrasi yang menjelaskan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial adalah seperti di bawah:
Mahmud adalah pegawai pemasaran syarikat Dadidu Sdn. Bhd. Syarikat ini menjalankan penyelenggaraan pejabat. Mahmud telah memberi rasuah kepada pengarah syarikat Alam Barzakh Sdn. Bhd. untuk mendapat projek penyelenggaraan di syarikat itu.
Tindakan Mahmud tu boleh menyebabkan syarikat Dadidu Sdn. Bhd. dan pengurusan syarikat didakwa di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Apakah Jenis Organisasi Yang Boleh Didakwa Kerana Kesalahan Rasuah?

Jenis organisasi komersial yang boleh didakwa kerana rasuah dinyatakan di bawah Seksyen 17A(8) Akta SPRM 2009.
Secara mudahnya, terdapat 4 kategori organisasi yang termasuk dalam definisi ‘organisasi komersial’ iaitu:

  1. Organisasi yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016
    Contoh: Syarikat ABC Sdn. Bhd, Syarikat DDD Berhad
  2. Perniagaan yang ditubuhkan di bawah Akta Perkongsian 1961
    Perniagaan yang mempunyai 2-20 orang pemilik. Selalunya firma perakaunan, firma guaman dan sebagainya ditubuhkan di bawah Akta Perkongsian 1961.
  3. Perniagaan yang ditubuhkan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.
    Merupakan alternatif kepada perniagaan perkongsian. Kelebihan penubuhan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 adalah daripada segi liabiliti (hutang). Apa-apa hutang perniagaan akan ditanggung sepenuhnya oleh aset-aset perniagaan. Berbeza dengan perkongsian konvesional (ditubuhkan di bawah Akta Perkongsian 1961), rakan kongsi mempunyai tanggungan liabiliti atau hutang-hutang secara bersama.
  4. Syarikat atau perniagaan luar negara yang menjalankan perniagaan di Malaysia.
    Syarikat luar negara (contohnya, syarikat antarabangsa atau multi-national company) yang mempunyai cawangan atau anak syarikat di Malaysia.

Apakah Dimaksudkan Dengan ‘Orang Yang Bersekutu Dengan Organisasi Komersial’?

Kesalahan rasuah oleh organisasi komersial berlaku apabila ‘seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial’ menawar atau memberi rasuah yang memberi faedah kepada perniagaannya.
Seksyen 17A(6) Akta SPRM 2009 mendefinisikan ‘seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial’ sebagai:

  1. Pengarah, rakan kongsi atau pekerja kepada organisasi komersial; atau
  2. Individu yang melaksanakan tugas bagi pihak organisasi komersial berkenaan. Contohnya, perunding/konsultan dan orang tengah. Dengan kata lain, perbuatan menawar/memberi/bersetuju untuk memberi rasuah oleh individu di atas boleh menyebabkan organisasi mereka didakwa.

Sumber: Laman Sesawang SPRM

ms_MYMY
Verified by MonsterInsights