Anggota masyarakat perlu terima hakikat betapa gejala rasuah yang berlaku baik di sektor awam mahupun swasta semakin memudaratkan kehidupan rakyat, kemajuan ekonomi dan pembangunan negara. Sudah menjadi rahsia umum apabila rasuah di negara ini bersifat struktural dan berlaku di segenap lapisan dalam sesebuah organisasi mencakupi dari kalangan anggota peringkat paling bawah hingga ke tahap pengurusan tertinggi.
Walaupun pelbagai program pencegahan dan penguatkuasaan dilakukan oleh setiap organisasi termasuk pihak berkuasa namun masalah ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa terus berlaku. Rasuah di sektor awam sentiasa menarik perhatian kerana membabitkan wang rakyat yang memberi impak negatif langsung terhadap kehidupan dan kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.
Dua faktor utama yang dilihat menyumbang kepada gejala rasuah di negara ini ialah ketamakan manusia yang ingin cepat kaya dan kelemahan sistem yang membuka ruang kepada pelaku rasuah.
Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan ketirisan mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota kastam di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ini sekali lagi membuktikan ketamakan segelintir anggota penguat kuasa yang gelap mata berjaya memanipulasi kelemahan yang ada pada sistem operasi kerja sehingga negara mengalami kerugian yang besar.
Kita perlu akui masih terdapat kelemahan yang ketara dalam sistem dan prosedur kerja yang ada dan ini perlu dibaiki dengan segera, yakni segala kelompangan yang ada wajar ditutup secara bersistematik supaya penularan rasuah dalam sesebuah jabatan itu dapat dikawal dan dicegah sepenuhnya dari peringkat akar umbi.
Misalnya, rasuah di beberapa agensi awam yang didedahkan sebelum ini membabitkan segelintir penjawat awam yang tidak amanah sudah bersifat struktural dan merentasi pelbagai lapisan gred jawatan dan ia diwarisi dari satu generasi ke generasi lain. Bermakna, pencegahan rasuah perlu berlaku di semua peringkat lapisan dari anggota bawah hingga ke kepimpinan tertinggi dalam organisasi supaya budaya yang telah dinormalisasikan itu dapat dihapuskan secara bersistematik.
Justeru, hanya reformasi institusi secara menyeluruh dengan memperbaiki kelemahan sistem yang ada mampu menangani masalah jenayah kolar putih ini mencakupi semua agensi awam.
Secara prinsipnya, majoriti penjawat awam melakukan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi, malah integriti mereka tidak perlu dipertikaikan. Namun, sekelompok kecil yang membuat onar ini mula mencemarkan nama baik keseluruhan perkhidmatan awam, umpama nila setitik rosak susu sebelanga.
Jika terus dibiarkan, mereka akan mula meracuni pemikiran rakan setugas lain terutamanya pegawai lantikan baharu, sekali gus menarik lebih ramai lagi anggota untuk terbabit dalam rasuah. Ini bermakna, kita tidak boleh tutup mata dan telinga dengan andaian ini sekadar kes terpencil.
Disebabkan isu rasuah semakin serius, kita tidak boleh membiarkannya berlarutan hingga sampai ke tahap memudaratkan rakyat dan negara. Justeru, masalah ini perlu ditangani secara bersistematik membabitkan semua agensi kerajaan secara keseluruhannya.
Sebagai permulaan, dicadangkan semua jabatan kerajaan khususnya agensi penguatkuasaan mencakupi barisan hadapan keselamatan yang sering terdedah kepada risiko amalan rasuah dan salah guna kuasa perlu melaksanakan proses pemutihan serta pembersihan dalaman secara total.
Segera cari dan kenal pasti virus yang ada dalam agensi masing-masing sebelum ia merebak dan sukar dikawal. Mereka yang didapati terbabit, perlu dikenakan tindakan tegas termasuk ditamatkan perkhidmatan sebagai pengajaran dan peringatan kepada anggota lain.
Kaji semula keberkesanan sistem penggiliran penempatan bertugas khususnya anggota penguat kuasa yang bertugas di bahagian sensitif dan lebih terdedah kepada peluang untuk terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa. Jika sistem yang diamalkan selama ini tidak berjaya menyelesaikan masalah, maka eloklah diteliti dan dibuat penambahbaikan yang sewajarnya termasuk memendekkan lagi tempoh penempatan pegawai di bahagian tertentu.
Sistem yang memberi kuasa berlebihan kepada seseorang pegawai wajar diteliti semula. Jangan beri kuasa berlebihan kepada seseorang individu untuk membuat sesuatu keputusan besar termasuk melepaskan pemeriksaan di pintu masuk negara kerana boleh mendorong kepada perbuatan salah guna kuasa, sebaliknya perlu ada beberapa lapisan atau jawatankuasa yang berperanan membuat keputusan atau memberikan kelulusan. Walaupun ia mungkin kelihatan sedikit birokrasi namun akan menjadi jalan terbaik dan telus dalam menangani masalah salah guna kuasa.
Hakikatnya, kuasa yang diberikan kepada seseorang pegawai seperti mengenakan denda mahupun menangkap mana-mana individu yang melakukan kesalahan sememangnya akan membuka peluang untuk aktiviti sogokan di mana anggota yang tidak amanah akan menyalahguna kuasa dan kedudukan ini untuk mengugut atau bersekongkol dengan pelaku jenayah demi meraih keuntungan peribadi. Mereka anggap ini sebagai peluang terbaik untuk menambah pendapatan sampingan.
Kelemahan sistem juga boleh diperbaiki dengan cara mengurangkan aktiviti perhubungan secara bersemuka antara pelanggan dengan pegawai yang bertugas supaya dapat menutup peluang memberi, meminta atau menerima rasuah. Ini boleh dilakukan dengan pengaplikasian sepenuhnya perkhidmatan secara digital di mana setiap agensi kerajaan wajar mengoptimumkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan masing-masing.
Usaha untuk menyedarkan setiap warga kerja tentang tanggungjawab dan amanah serta keburukan gejala rasuah perlu diteruskan secara berkala dan sepanjang masa sebagai aktiviti rutin setiap agensi kerajaan sebagai inisiatif pencegahan gejala rasuah.
Selagi kita tidak memperbaiki dan menutup segala kelompangan yang ada dalam sistem serta tangani masalah sikap serta ketamakan individu selagi itu kita tidak mampu menangani masalah rasuah di negara ini.
Justeru setiap individu, agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkuasa perlu memberi perhatian terhadap langkah drastik yang sistematik sebagai iltizam untuk mencegah gejala rasuah dari peringkat akar umbi.
Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP)
Universiti Putra Malaysia (UPM)