MOTIVASI DAN KEPUASAN KERJA
Motivasi membantu manusia mencapai matlamat hidup dan menjadi penyebab kepada perubahan tingkah laku manusia. Merujuk beberapa teori pengurusan dan motivasi, motivasi wujud daripada keperluan asas dengan meminimumkan kekecewaan fizikal dan memaksimumkan keseronokan. Konsep ini menerangkan kenapa individu bermotivasi untuk berbuat sesuatu dan bersungguh terhadap apa-apa yang dilakukannya. Pekerja yang bermotivasi dalam pekerjaan memenuhi keperluan untuk hidup di samping keperluan untuk kepuasan hati, bergaul, mendapat pengiktirafan dan sebagainya. Keseluruhannya, motivasi adalah berhubung kait dengan emosi.
- Faktor Motivator
- Pencapaian
Setiap pekerja pasti mahukan kejayaan dalam melaksanakan tugas. Kejayaan dalam tugasan itu akan memberi motivasi dalam melaksanakan tugasan seterusnya. Oleh itu, kejayaan dalam melaksanakan pekerjaan merangkumi pencapaian seperti hasil kerja, tempoh penyelesaian, kebebasan cara bekerja serta mengembangkan idea dan kreativiti dalam melaksanakan tugasan.
- Pengiktirafan
Pengiktirafan adalah alat motivasi yang kuat, bahkan dapat mengatasi kepuasan yang timbul daripada memberikan pampasan. Pengiktirafan boleh diberikan daripada pihak atasan, pengurusan, pelanggan, profesional atau rakan sekerja. Oleh itu seseorang yang mendapat pengiktirafan akan dapat meningkatkan semangat di tempat kerja. Pengiktirafan boleh berbentuk pujian, tindak balas terhadap pekerjaan yang dilakukan dengan baik atau kenaikan gaji.
- Kenaikan Pangkat
Kenaikan pangkat dapat ditakrifkan sebagai satu bentuk pertukaran yang melibatkan penetapan semula pekerja ke satu kedudukan yang mempunyai gaji yang lebih tinggi. Kenaikan pangkat memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi karakter peribadi individu yang mengharapkannya. Mereka yang tidak mengharapkan kenaikan pangkat pula tidak akan mempengaruhi prestasi kerja mereka. Pada umumnya kenaikan pangkat penting dalam kerjaya seseorang. Komitmen pekerja dalam melaksanakan tugasan merupakan kriteria dalam kenaikan pangkat kerana ia merupakan penghargaan pihak pengurusan terhadap seseorang pekerja.
- Keadaan Kerja
Kepuasan kerja boleh dicapai oleh kerja itu sendiri sekiranya tugas yang diberikan disukai oleh pekerja dan jika pekerjaan itu sesuai dengan kemahiran dan kebolehannya, dan mereka berasa bangga melakukannya. Pekerjaan yang bukan bidang kebolehannya, mencabar rutin dan membosankan biasanya tidak memuaskan pekerja serta tidak mendorongnya melakukan tugasan seterusnya. Pekerja menyukai pekerjaan yang menarik dan bukan rutin. Melalui teknik pengayaan pekerjaan, ia dapat menjadi alat untuk memotivasikan pekerja dan menjadikan pekerjaan itu menarik, serta menjadikan tempat kerja lebih mencabar dan memberikan kepuasan kerja. Oleh itu, organisasi yang baik adalah yang meletakkan pekerja di tempat yang tepat.
V. Tanggungjawab
Setiap orang yang bekerja di sebuah organisasi ingin diberi kepercayaan untuk memegang jawatan dan tanggungjawab yang lebih besar daripada yang telah diperolehnya. Tanggungjawab bukan sahaja untuk melaksanakan pekerjaan dengan baik, tetapi juga dalam bentuk kepercayaan yang diberikan oleh pihak atasan mahupun pihak yang berkepentingan di dalam organisasi. Setiap pekerja mahu dikenali sebagai seorang yang berpotensi dalam organisasi dan pengiktirafan ini akan mendorong pekerja lebih berkeyakinan diri dan bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar.
Kepuasan kerja amat perlu kepada setiap pekerja. Apabila wujudnya kepuasan kerja, ia akan mendorong pekerja untuk lebih bermotivasi, meningkatkan prestasi dan produktiviti dan dalam masa yang sama juga dapat mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang negatif seperti malas bekerja, ponteng, berhenti awal, jenayah dan sebagainya kepada pekerja. Faktor-faktor yang mempengaruhi kepuasan kerja perlu diambil berat dan menjadi fokus kepada pihak pengurusan atau sumber manusia sesebuah organisasi.
.