Rasulullah s.a.w. menyebut bahawa salah satu tanda-tanda kecil dekatnya kiamat ialah waktu yang terasa semakin singkat. Hadis mengenai ini cukup banyak, misalnya hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi daripada Abu Hurairah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak akan tiba hari kiamat hingga waktu semakin singkat. Setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari, sehari bagaikan satu jam. Dan satu jam bagaikan api yang membakar daun kurma.” Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah juga bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Waktu akan semakin singkat, harta melimpah ruah, fitnah akan menyebar, dan banyak terjadi pembunuhan.”
Para ulama tidak mentafsirkan “singkatnya waktu” dengan bertambahnya kecepatan putaran bumi sehingga jumlah masa dalam satu hari berkurang menjadi 23 jam misalnya. Pentafsiran seperti ini tentunya bertentangan dengan logik. Sebab jika kita memutarkan sebiji bola pada titik tertentu, tentulah laju putarannya semakin lama semakin berkurang, bukannya bertambah. Oleh itu, para ulama hadis seperti Qadi ‘Iyad, al-Nawawi dan Ibn Abi Jamrah mentafsirkan singkatnya waktu ini dengan hilangnya keberkatan. Mereka berkata, “Maksud singkatnya waktu ialah hilangnya keberkatan waktu tersebut. Sehingga satu hari misalnya tidak dapat dimanfaatkan seluruhnya, melainkan cuma beberapa jam saja.” Pendapat ini dikuatkan oleh Imam Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, katanya, “Pendapat (hadis ini) bermaksud bahawa Allah s.w.t. mencabut semua keberkatan daripada segala sesuatu, termasuk keberkatan waktu. Dan ini merupakan salah satu tanda dekatnya kiamat.”
Apakah Maksud Berkat?
Dari segi bahasa, kata “berkat” (barakah) bermakna bertambah (al-ziyadah) dan berkembang. Kata ini digunakan untuk menunjukkan “kebaikan yang banyak” seperti dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Kitab penuh berkat” dan “Malam penuh berkat”, yakni dipenuhi dengan kebaikan yang banyak. Rasulullah s.a.w. juga sering kali mendoakan para sahabatnya agar Allah memberkati mereka, seperti doa Baginda untuk Abu Qatadah, “Ya Allah, berkatilah kulit dan rambutnya.” Sejak itu, kulit dan rambut Abu Qatadah tidak pernah beruban meskipun usianya bertambah. Al-Hafiz Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq bercerita bahawa Abu Qatadah wafat pada usia 70 tahun namun kulit dan rambutnya seperti remaja berusia 17 tahun.
Kita boleh membuat kesimpulan bahawa keberkatan dalam sesuatu bermakna kualiti sesuatu itu berkembang sehingga melampaui kuantitinya. Jika sebelum makan kita meminta Allah memberkati makanan kita, bermakna kita meminta agar makanan itu bermanfaat untuk kesihatan tubuh dan ibadah kita. Kuantiti, bentuk dan rasa makan itu mungkin tidak berubah, namun kesan positif yang di akibatkannya akan segera dirasakan oleh orang yang memakannya. Tubuhnya semakin kuat dan terhindar daripada penyakit, jiwanya terasa lebih ringan untuk melakukan perkara yang bermanfaat bagi dunia dan akhiratnya. Tidak dinafikan bahawa Allah juga boleh memberikan keberkatan kepada makanan dengan membanyakkan jumlah atau kuantiti bersama kualiti makanan tersebut, sebagai mukjizat (untuk nabi) atau karamah (untuk hamba-Nya yang soleh). Hadis-hadis tentang hal ini sangat banyak dan masyhur sehingga tidak perlu disebutkan lagi pada kesempatan ini.
Keberkatan Waktu
Keberkatan yang paling penting ialah keberkatan dalam hidup dan keberkatan dalam waktu kita. Yakinilah, kita diciptakan untuk suatu tugas maha penting, dan waktu ialah modal yang penting untuk dapat menunaikan tugas tersebut dengan baik. Tanpa keberkatan dan pengurusan waktu yang baik, kita tidak akan dapat menunaikan tugas tersebut dengan sempurna. Oleh sebab itu, bagi hamba-hamba Allah yang sejati, waktu jauh lebih mahal dan lebih berharga daripada wang dan harta benda apa pun di dunia ini. Keberkatan waktu dan rezeki hanya datang melalui kekuatan iman dan tunduknya perintah dan larangan. Dalilnya firman Allah Taala yang bermaksud: “Jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan limpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi.” (Surah al-A’raf 7: 96)
Imam Abu Bakar bin ‘Ayasy berkata: “Andai kata seseorang kehilangan sekeping emas, ia akan menyesal dan memikirkannya sepanjang hari. Ia mengeluh, “Inna lillah wa inna ilaihi raji‘un, emas saya hilang.” Namun belum pernah kita mendengar seseorang mengeluh: “Sehari telah berlalu, namun apa yang aku lakukan sepanjang tempoh itu?” Hamba-hamba Allah ini selalu menyesal jika satu detik daripada waktunya berlalu tanpa manfaat. Seorang ahli hadis, Abu Bakar al-Khatib al-Baghdadi, sering kali dilihat membaca sambil berjalan, lantaran dia tidak ingin membuang waktunya.
Sikap Kita
Keberkatan waktu benar-benar kita rasakan telah hilang pada masa kini. Jika kita menyedari bahawa keberkatan telah hilang, maka sungguh rugi jika kita membuang-buang waktu yang memang sudah sedikit itu. Sebaliknya, kita harus bertekad menggunakan waktu ini dengan baik untuk meningkatkan prestasi di dunia dan mengumpulkan bekal hidup di akhirat. Abu Hazim Salamah bin Dinar berkata, “Segala sesuatu yang ingin kau bawa ke akhirat, siapkanlah dari sekarang. Dan sesuatu yang tidak ingin kau bawa, tinggalkanlah dari sekarang.” Apa lagi Rasulullah s.a.w. memberitakan bahawa kondisi ini akan bertambah buruk pada masa akan datang. Baginda bersabda sebagaimana diriwayatkan al-Bukhari daripada Anas bin Malik, “Tidaklah datang kepadamu suatu zaman, melainkan zaman yang setelahnya lebih buruk daripada itu, hingga kamu berjumpa dengan Tuhanmu.” Baginda juga bersabda yang bermaksud: “Cepatlah kamu beramal sebelum datang berbagai-bagai fitnah seperti kegelapan malam. Pada waktu itu, seorang beriman pada pagi hari dan kafir pada petang harinya. Ia beriman pada petang hari tetapi kafir pada pagi harinya. Ia menjual agamanya demi sedikit harta dunia.” (Riwayat Ibn Hibban dan al-Hakim daripada Abu Hurairah).
Sumber: Ustaz Umar Muhammad Noor,28 September 2016, Majalah Solusi Isu No.5