Integriti dan tatakelola yang baik merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran masyarakat Malaysia Madani. Kedua nilai ini membentuk landasan kukuh untuk pembangunan yang berkesan dan mampan. Apabila sesebuah masyarakat mengamalkan integriti dan tatakelola yang baik, ia akan memberikan manfaat kepada setiap individu serta keseluruhan komuniti.

Integriti Sebagai Landasan Utama

Integriti merujuk kepada kejujuran diri dan amalan moral yang konsisten. Dalam konteks masyarakat, integriti melibatkan tindakan yang bersih daripada rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Budaya integriti yang kukuh membawa kepada keyakinan dalam institusi dan pemimpin, serta membentuk asas yang stabil untuk pertumbuhan ekonomi dan sosial.

Integriti juga berkait rapat dengan kepercayaan suasana yang kondusif untuk kerjasama, perkongsian maklumat dan inovasi terbina hasil keyakinan tinggi masyarakat terhadap integriti institusi dan individu. Kepercayaan yang kukuh merupakan asas kepada hubungan antara masyarakat, kerajaan dan sektor swasta.

Tatakelola Yang Baik Sebagai Penyokong Integriti

Tatakelola yang baik membawa kepada pengurusan yang berkesan dan bertanggungjawab dalam sesuatu organisasi dan negara. Ia merangkumi proses, struktur dan amalan yang memastikan keadilan, ketelusan dan keberkesanan. Dalam konteks kerajaan, tatakelola yang baik merujuk kepada cara dan kaedah kerajaan menjalankan fungsi urusan awam termasuk proses pembuatan keputusan dan pengurusan sumber.

Penglibatan awam dalam proses pembuatan keputusan adalah ciri penting tatakelola yang baik. Apabila rakyat berasa bahawa mereka mempunyai akses kepada maklumat yang mencukupi dan peluang untuk menyuarakan pendapat mereka, ia membentuk sebuah masyarakat yang lebih berdaya saing dan bertanggungjawab. Selain itu, akauntabiliti juga merupakan elemen penting dalam tatakelola yang baik. Institusi dan individu yang bertanggungjawab akan memastikan bahawa tindakan mereka selari dengan undang-undang dan prinsip moral masyarakat.

Menanam Budaya Integriti dan Tatakelola Yang Baik

Dalam memastikan pembudayaan integriti dan tatakelola yang baik, pendekatan yang menyeluruh perlu diambil. Pendidikan awam dan kesedaran perlu ditingkatkan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan integriti dan tatakelola yang baik. Sekolah dan institusi pendidikan perlu memasukkan nilai-nilai ini ke dalam kurikulum mereka dan kempen kesedaran awam perlu dianjurkan secara kerap untuk menyebarkan mesej ini kepada masyarakat.

Selain itu, pentadbiran yang telus dan cekap perlu diterapkan di semua peringkat, daripada peringkat tempatan sehingga ke peringkat nasional. Langkah-langkah pencegahan rasuah, pelaporan penyelewengan dan perlindungan whistleblower adalah penting untuk menggalakkan amalan integriti dan tatakelola yang baik.

Kesimpulan

Integriti dan tatakelola yang baik membentuk landasan penting bagi kemajuan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia Madani. Budaya integriti dan tatakelola yang baik memerlukan usaha berterusan daripada semua pihak, termasuk institusi kerajaan, sektor swasta, masyarakat awam dan individu. Dengan mengamalkan nilai-nilai ini, masyarakat dapat mencapai kemajuan yang mampan dan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada generasi akan datang.

Tips Mengekalkan Integriti di Tempat Kerja:

Sumber:

  1. Amal Akmal Aziz, Penolong Setiausaha (Sub Unit Tadbir Urus), Unit lntegriti, Kementerian Kewangan Malaysia, Kolumnis@SPRM, 20 Jun 2024
  2. Pesanan Integriti Bil. 5/2024, Jabatan Integriti, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
ms_MYMS