NO. ARTIKEL: BIL. 16/2024 | Gejala ‘burnout’ : Kenali, fahami dan atasinya

TERMA ‘burnout’ sering digunapakai akhir-akhir ini untuk menggambarkan keadaan stres di tempat kerja. Ia merupakan satu keadaan di mana berlakunya keletihan yang ketara dari segi fizikal, emosi dan mental beserta perasaan ragu tentang keupayaan diri serta nilai pekerjaan seorang individu.

Terma ‘burnout’ ini telah lama diperkenalkan iaitu pada tahun 1974 oleh seorang pakar psikologi iaitu Herbert Freudenberger, cuma ianya baru diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu sindrom klinikal pada tahun 2019.

Pada asalnya, Freudenberger mengenal pasti gejala ini berlaku di kalangan sukarelawan yang bekerja di klinik percuma di bandaraya New York, Amerika Syarikat (AS). Sukarelawan yang pada awalnya sangat bersemangat dan menunjukkan minat tinggi untuk membantu didapati mula hilang motivasi, menjadi sinis, mengalami keletihan fizikal serta gangguan emosi.

Beliau mendefinisikan ‘burnout’ sebagai satu keadaan di mana seseorang individu itu mengalami keletihan fizikal dan psikologikal disebabkan oleh pekerjaan atau kehidupan professional. Sejak itu, terma ‘burnout’ telah digunakan dalam banyak isu yang berkaitan dengan stres di tempat kerja.

Terdapat peningkatan yang ketara dalam kes ‘burnout’ secara global saban tahun dan pengiktirafan ini menyebabkan masyarakat dunia mula mengambil perhatian tentang stres di tempat kerja. Pekerjaan sebenarnya bukan sahaja merupakan punca pendapatan seseorang, tetapi ia juga boleh menjadi punca tekanan serta menjejaskan kesihatan mental sekiranya tidak dikendalikan dengan baik.

Semua orang pasti akan cuba melakukan yang terbaik dalam pekerjaan tetapi ada juga yang bekerja secara berlebihan seperti bekerja sehingga lewat malam atau semasa hujung minggu dan juga mengambil beban tugas yang terlampau banyak sehingga sukar mencapai tarikh akhir yang ditetapkan.

Di Amerika Syarikat, didapati bahawa doktor dan individu yang bekerja di persekitaran yang mempunyai kadar stres tinggi mempunyai risiko mendapat ‘burnout’ sebanyak dua kali ganda berbanding pekerja lain. Kajian di United Kingdom (UK) pula mendapati bahawa 526 ribu pekerja mengalami ‘burnout’ manakala di Malaysia pula, satu kajian oleh AIA Vitality mendapati bahawa 53 peratus pekerja di negara ini mengalami sekurang-kurangnya satu dimensi ‘burnout’ di tempat kerja.

Kajian tersebut juga mendapati, 12 peratus pekerja mengalami tahap kemurungan serta gemuruh (anxiety) yang tinggi. Walaupun ianya bukan sejenis penyakit, tetapi ‘burnout’ telah dimasukkan ke dalam kategori faktor yang mempengaruhi kesihatan atau penyebab untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di dalam ‘11th Revision of the International Classification of Diseases (ICD-11)’.

Tiga dimensi utama

Mengikut klassifikasi oleh ICD-11, ‘burnout’ terhasil daripada stres berterusan di tempat kerja yang tidak dapat diuruskan dengan baik dan dicirikan oleh tiga dimensi utama iaitu:

Perlu ditegaskan bahawa istilah ‘burnout’ cuma boleh digunakan dalam konteks pekerjaan dan bukannya dalam aspek kehidupan yang lain.

Faktor-faktor yang menyebabkan ‘burnout’:

1)        Beban kerja berlebihan

Beban kerja yang terlalu banyak, kurang rehat serta tiada aktiviti sosial akan menyebabkan fizikal menjadi letih dan lesu. Ini menjadi lebih teruk apabila seseorang itu tidak mendapat tidur yang secukupnya serta kurang sokongan daripada rakan sekerja, majikan dan keluarga.

2)        Kerja di luar kepakaran, bidang tugas atau minat

Melakukan sesuatu di luar kepakaran atau secara paksaan tanpa minat yang mendalam boleh menimbulkan tekanan. Ini kerana seseorang individu itu tidak dapat mencapai kepuasan dalam bekerja, sentiasa berasa risau tentang mutu kerja serta sering berasa tidak cukup bagus dalam menjalankan tugasan tersebut. Ia juga mungkin menimbulkan rasa rendah diri dan sering membuat perbandingan dengan orang lain.

3)          Personaliti

Terdapat beberapa ciri personaliti Individu yang menyebabkan mereka cenderung untuk mendapat tekanan serta ‘burnout”. Antaranya adalah:

  1. Individu yang terlalu mementingkan kesempurnaan dalam semua tugas.
  2. Individu yang meletakkan target serta pencapaian yang tinggi.
  3. Individu yang sukar memberi kepercayaan kepada orang lain dan lebih gemar melakukan tugasan secara sendirian.
  4. Individu yang sentiasa berfikiran pesimis terhadap diri dan orang lain.

Tanda-tanda ‘burnout’

Secara umumnya ia boleh di bahagikan kepada 3 kategori iaitu:

1)          Gejala fizikal

2)          Gejala emosi

3)          Gejala tingkah laku

Cara mengatasi burnout

Jika anda ada mengalami gejala ‘burnout’, sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini dengan segera. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah:

Walaupun ramai yang mengalami gejala ‘burnout’, tetapi tidak ramai yang bersedia untuk mengakuinya kerana bimbang dilihat sebagai seorang yang lemah, malas atau tidak mampu menjalankan tugas. Hakikatnya, setiap individu mempunyai keupayaan, kelebihan serta ketahanan diri yang berbeza. Sungguhpun demikian, tiada siapa yang mampu bertahan lama jika menghadapai tekanan yang berterusan tanpa mendapatkan penyelesaian atau sokongan yang sepatutnya.

Ada individu yang mengambil keputusan untuk terus berhenti kerja atau mengabaikan gejala ‘burnout’ yang dihadapi. Bagaimanapun, jika gejala ‘burnout’ ini dibiarkan berterusan, maka individu tersebut mempunyai risiko untuk mendapat kemurungan atau penyakit gemuruh. Untuk itu adalah penting untuk kenali dan fahami gejala ‘burnout’ serta melakukan sesuatu untuk mengatasinya.

Scroll to Top