MAJLIS PELANCARAN SELANGOR DIGITAL E-SUPPLY CHAIN (SELDEC)

MAJLIS PELANCARAN SELANGOR DIGITAL E-SUPPLY CHAIN (SELDEC)

October 11, 2019 Off By Wahyunah

Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (SELDEC) bagi membantu meningkatkan pendapatan usahawan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) serta pengusaha luar bandar. SELDEC merupakan kerjasama bersama PKNS, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Koperasi Warga Hijrah Selangor (KOHIJRAH) bersama Kerajaan Negeri Selangor dan MMAG Holding Berhad bagi mencari usahawan yang berpotensi untuk menyertai program ini. Majlis Perasmian dan Pelancaran SELDEC serta Upacara Penyerahan Dokumen Kolaborasi antara MMAG Holding Berhad denagn PKNS, PKPS dan KOHIJRAH telah diadakan pada 3 Oktober 2019 bertempat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

SELDEC bertujuan menangani isu berkaitan ekosistem rantaian pengurusan perniagaan dengan memanfaatkan sumber sedia ada, mengurangkan kos kitaran hayat pegangan produk dan mengurangkan isu orang tengah. Sistem itu menjadi lebih mudah sekaligus menjana keuntungan yang lebih baik kepada pengusaha dan usahawan luar bandar. Ia juga memberikan pendapatan sampingan kepada kurier yang menghantar barangan.

SELDEC dikuasakan  dengan penggunaan aplikasi digital bagi membantu usahawan dan pengguna menempah barangan yang diingini secara terus. Bagi fasa awal pembangunan SELDEC, fokus adalah untuk meningkatkan kefahaman melalui beberapa sesi taklimat dan latihan yang dihadiri golongan usahawan IKS dari serata Selangor.

SELDEC juga dibangunkan secara berperingkat pada fasa kedua dengan penumpuan kepada semua jenis perniagaan IKS antaranya makanan tempatan, perkhidmatan, pakaian manakala fasa ketiga baru kita memberi fokus terhadap produk segar seperti ikan, sayur serta buah-buahan.

Untuk fasa pertama seramai 33 usahawan bernaung di bawah PKNS, KOHIJRAH, PKPS yang sudah mendaftar untuk menyertai program SELDEC ini. SELDEC adalah hasil usahasama dengan syarikat logistik tempatan iaitu Line Clear milik penuh MMAG Holding Bhd. yang tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia.

SELDEC juga bekerjasama dengan SSDU Innovations Sdn.Bhd yang juga dikenali sebagai Smart Selangor Delivery Unit untuk membangunkan aplikasi telefon pintar dan tablet  bagi memudahkan transaksi pembelian dan meluaskan capaian ke serata Selangor.