Program Subsidi Ayam PKPS Prihatin

Program Ayam Subsidi PKPS Prihatin

Bagi meringankan beban rakyat Selangor khususnya golongan berpendapatan rendah yang sedang mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengadakan program jualan subsidi ayam bermula hari ini secara berperingkat di seluruh negeri.

Buat masa ini, jualan Ayam PKPS Prihatin ini akan diuruskan dengan kerjasama petugas di setiap pusat khidmat dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Ayam PKPS Prihatin yang akan dijual dianggarkan seberat 1.2 kg hingga 1.8 kg. Harga ditetapkan oleh PKPS bagi harga ayam 1.2 kg hingga 1.5 kg adalah sebanyak RM5  manakala bagi 1.6 kg – 1.8 kg adalah RM10.

Untuk rekod, berdasarkan semakan di laman web Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang boleh dicapai melalui pautan www.fama.gov.my/harga-pasaran-terkini, harga pasaran bagi ayam proses (standard) ketika ini adalah sebanyak RM7.80 per kg.

Ini bermakna, PKPS memberi subsidi sebanyak RM3 hingga RM5 bagi setiap ekor ayam yang dijual.

Buat permulaan, PKPS dijangka akan menjual sebanyak 50,000 ekor ayam untuk menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dato’ Abdul Ghariff Ramin berkata program ini adalah sebahagian daripada inisiatif CSR dibawah panji PKPS Prihatin yang bertujuan untuk memastikan seluruh rakyat negeri Selangor mendapat akses secukupnya kepada barang makanan segar pada harga yang berpatutan.

“Sebagai tunjang yang akan menggerakkan inisiatif jaminan bekalan makanan negeri, PKPS giat melaksanakan program seumpama ini agar rakyat Selangor mendapat manfaat daripada hasil keluaran PKPS sendiri di mana kita mempunyai ladang ayam ternakan di Kuala Selangor yang mampu mengeluarkan sebanyak 550,000 ekor ayam pada setiap pusingan,” katanya.

Menurutnya lagi PKPS juga sedang menggerakkan beberapa inisiatif lain seperti program ‘Food Truck’ Selangor Agro Market @ PKPS Prihatin yang menjual barangan segar seperti ikan dan daging serta barang kering seperti tepung, gula, garam, minyak dan sebagainya.

“Semua inisiatif ini susulan daripada Program Keselamatan Makanan yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato Seri Amirudin Shari pada Julai tahun lalu. PKPS beriltizam untuk menjadi peneraju utama sektor pertanian makanan di negeri Selangor,” katanya ketika ditemui pada program jualan di sini.

Jualan Subsidi Ayam PKPS Prihatin ini dijadual akan berterusan sehingga penghujung bulan Ogos 2021.

Sebarang maklumat lanjut mengenai inisiatif CSR PKPS Prihatin akan dikongsikan menerusi laman Instagram PKPS, @mypkps dan laman Facebook rasmi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor – PKPS dari semasa ke semasa.

 

Sebarang Pertanyaan Media

 

Gaddafi Musli                                      – 0136661123 / gaddafi@pkps.gov.my

Reena Zuliana Abdul Rashid           – 0192680466 / reenazuliana@pkps.gov.my

Comments are closed.